PPM Sabah rampas 134,600 batang rokok tidak bercukai di Tenom
17:07 Jul 31, 2026  |  By SabahKini2
PPM Sabah rampas 134,600 batang rokok tidak bercukai di Tenom

Serbuan kira-kira jam 8.20 pagi itu dijalankan bersama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom.

TENOM: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 134,600 batang rokok dipercayai tidak bercukai bernilai lebih RM167,520 dalam satu serbuan di sebuah stor di Kampung Amboi, Tenom, semalam.

Serbuan kira-kira jam 8.20 pagi itu dijalankan bersama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom.

Menurut Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman, seorang lelaki yang dipercayai menjaga stor terbabit sempat melarikan diri ke kawasan kebun getah berhampiran sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.

"Pemeriksaan di dalam stor menemukan pelbagai jenis rokok yang dipercayai tidak bercukai.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM167,520 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek yang melarikan diri sedang diteruskan bagi membantu siasatan.

Ahmad Amri turut memaklumkan bahawa sehingga 30 Julai lalu, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 44 kes di bawah Akta Kastam 1967 melibatkan 30 tangkapan, dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM6.21 juta.

Katanya, PPM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan risikan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta penyimpanan barangan tidak bercukai.

Comment