PAPAR: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar menjala ikan ditemukan meninggal dunia di Sungai Benoni di sini pada Ahad.
Mangsa berusia 61 tahun itu dipercayai keluar menjala ikan kira-kira jam 6 pagi sebelum gagal pulang ke rumah sehingga lewat petang, sekali gus mencetuskan kebimbangan ahli keluarganya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Ronny Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.09 malam.
Menurutnya, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Toyota Vigo digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari BBP Papar.
"Maklumat daripada adik mangsa memaklumkan kebiasaannya mangsa akan pulang ke rumah sekitar jam 1 petang setiap kali keluar menjala ikan.
"Bagaimanapun, mangsa tidak pulang sehingga lewat petang menyebabkan ahli keluarga bersama penduduk kampung bertindak mencarinya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, usaha pencarian awal hanya menemukan motosikal dan selipar milik mangsa di tebing Sungai Benoni.
Susulan itu, katanya, pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah Water Surface Searching.
"Mangsa kemudian ditemukan oleh orang awam pada jam 9.59 malam berhampiran lokasi motosikalnya ditinggalkan," katanya.
Ronny berkata, pegawai perubatan yang berada di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.13 malam selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

