Kerajaan Sabah, Ketua Menteri dan SDB saman EY RM2.4 Bilion: Audit 'tipu' tutup krisis RM5 bilion pinjaman bermasalah
12:08 Aug 05, 2026  |  By SabahKini2
Kerajaan Sabah, Ketua Menteri dan SDB saman EY RM2.4 Bilion: Audit 'tipu' tutup krisis RM5 bilion pinjaman bermasalah

Kerajaan Sabah dan SDB mendakwa EY mengesahkan akaun SDB sebagai “benar dan saksama” walaupun bank itu dikatakan tidak solven, bergantung kepada penilaian cagaran lapuk dan terlibat dalam amalan “evergreening” pinjaman.

Sejajar dengan pendedahan Sabahkini2 berhubung dakwaan bahawa pentadbiran ketika era Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meluluskan pelupusan hutang berjumlah RM178 juta melibatkan Construction and Supplies House Bhd (CASH Bhd) milik Datuk Joseph Ambrose Lee, perkembangan terbaharu kini menyaksikan satu lagi tindakan besar membabitkan Sabah Development Bank Berhad (SDB).

ARTIKEL BERKAITAN- Bukti baharu Shafie Apdal lupus RM178 juta hutang CASH Bhd milik Datuk Ambrose Lee, EY pula disaman penipuan Audit SD Bank

 Bukti baharu Shafie Apdal lupus RM178 juta hutang CASH Bhd milik Datuk Ambrose Lee, EY pula disaman penipuan Audit SD Bank

Kerajaan Negeri Sabah bersama tiga entiti milik negeri memfailkan saman berjumlah RM2.4 bilion terhadap Ernst & Young PLT (EY), mendakwa firma audit antarabangsa itu cuai dan melanggar kewajipan berkanun ketika mengaudit penyata kewangan Sabah Development Bank Berhad (SDB) selama lebih sedekad.

Tindakan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Julai 2026 itu mendakwa EY mengeluarkan pendapat audit tanpa pengecualian bagi tahun kewangan berakhir 2011 hingga 2022, walaupun terdapat petunjuk bahawa kedudukan kewangan SDB telah merosot dengan serius.

Empat plaintif dalam saman itu ialah Kerajaan Negeri Sabah; Ketua Menteri Negeri Sabah sebagai sebuah pertubuhan perbadanan; Sabah Development Berhad; dan SDB Corporation Sdn Bhd. EY dinamakan sebagai defendan tunggal.

Melalui tindakan tersebut, plaintif menuntut RM2.4 bilion yang merangkumi RM650 juta deposit tetap yang dilucutkan, RM90 juta suntikan modal, RM660 juta deposit yang dipersetujui untuk ditukarkan kepada saham keutamaan boleh tebus dan kira-kira RM1 bilion kerugian berterusan serta masa hadapan.

Plaintif turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi punitif dan teladan, faedah sebelum penghakiman, faedah selepas penghakiman sebanyak lima peratus setahun serta kos.

 

EY mengaudit SDB selama 13 tahun

Menurut penyataan tuntutan, EY menjadi juruaudit berkanun SDB sejak 2011 dan terus mengaudit bank pembangunan milik penuh Kerajaan Sabah itu sehingga tahun kewangan 2023.

EY tidak dilantik semula dalam Mesyuarat Agung Tahunan SDB pada 19 September 2024. Firma Forvis Mazars PLT kemudiannya dilantik sebagai juruaudit baharu bagi tahun kewangan 2024 selepas menerima pelepasan daripada EY pada 26 September 2024.

Sepanjang tempoh audit berkenaan, EY dilaporkan mengeluarkan pendapat bahawa penyata kewangan disatukan dan berasingan SDB memberikan gambaran “benar dan saksama” mengenai kedudukan kewangan bank itu.

Rekod keuntungan sebelum cukai yang terkandung dalam akaun diaudit menunjukkan SDB mencatatkan keuntungan setiap tahun dari 2011 hingga 2022. Antaranya ialah RM91.37 juta pada 2011, RM177.57 juta pada 2017, RM111.60 juta pada 2018, RM139.32 juta pada 2019 dan RM96.01 juta pada 2022.

Namun, gambaran keuntungan itu berubah secara mendadak pada 2023 apabila SDB merekodkan kerugian sebelum cukai RM878.05 juta dan kerugian bersih RM683.96 juta.

 

 

Perubahan daripada keuntungan berterusan kepada kerugian hampir RM900 juta menjadi salah satu asas utama saman. Plaintif mendakwa kerugian yang muncul dalam akaun 2023 sebenarnya mencerminkan masalah lama yang sepatutnya dikenal pasti, diperuntukkan dan dilaporkan oleh EY lebih awal.

 

Dakwaan SDB sebenarnya tidak solven sejak 2018

Penyataan tuntutan mendakwa SDB telah menjadi tidak solven selewat-lewatnya pada tahun kewangan 2018.

Dakwaan itu diasaskan antaranya pada laporan EY sendiri mengenai komposisi portfolio pinjaman SDB. Bagi 2018, sebanyak 53.96 peratus daripada pinjaman kasar dilaporkan sebagai NPL manakala 31.98 peratus lagi dikategorikan sebagai pinjaman Tahap 2.

Jika kedua-dua kategori tersebut digabungkan, sebanyak 85.94 peratus portfolio pinjaman SDB pada tahun itu berada dalam kategori bermasalah atau menunjukkan peningkatan risiko kredit yang ketara.

Penyataan tuntutan menyenaraikan kedudukan berikut:

Plaintif mendakwa sebahagian pinjaman yang diletakkan dalam kategori Tahap 2 dari 2018 hingga 2022 sebenarnya merupakan NPL, tetapi tidak dikategorikan dengan betul kerana dikaitkan dengan syarikat berkaitan kerajaan.

Apabila kaedah peruntukan yang dianggap betul digunakan pada 2023, nisbah NPL dikatakan sepatutnya melebihi 80 peratus. Plaintif mendakwa purata sebenar nisbah pinjaman terjejas kasar SDB bagi tempoh 2018 hingga 2022 juga melebihi 80 peratus.

Atas angka tersebut, plaintif berhujah seorang juruaudit yang kompeten tidak mungkin boleh membuat kesimpulan bahawa peruntukan kemerosotan nilai SDB mencukupi, penyata kewangannya memberikan gambaran benar dan saksama atau SDB mampu meneruskan operasi tanpa teguran mengenai status usaha berterusannya.

Hampir RM5 bilion pinjaman tidak berbayar ditemukan

Pada 1 Julai 2023, pemegang saham SDB melantik Lembaga Pengarah baharu. Datuk Seri Panglima Lim Haw Kuang dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif, manakala Patricia Ubing mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif pada 1 September 2023.

Semakan yang dilaksanakan lembaga dan pengurusan baharu terhadap akaun 2017 hingga 2022 dikatakan menemukan beberapa kelemahan serius.

Antaranya ialah kira-kira RM5 bilion atau hampir 70 peratus daripada keseluruhan portfolio pinjaman SDB merupakan pinjaman tidak berbayar.

Daripada aset sekuriti bernilai RM6.8 bilion yang dilaporkan, aset cagaran berjumlah RM5.195 bilion didakwa mempunyai nilai yang diragui kerana berdasarkan laporan penilaian yang lapuk, tidak boleh dipercayai atau dibina atas andaian tidak realistik.

Sebahagian penilaian didakwa menggunakan anggaran kos pembinaan yang disediakan oleh kontraktor atau arkitek bagi projek yang telah terbengkalai. Terdapat juga dakwaan bahawa nilai aset cagaran telah dilebihkan sehingga ratusan juta ringgit.

Sekitar 45 peratus portfolio pinjaman SDB pada 2023 pula dikatakan terdiri daripada pinjaman kepada pihak di Semenanjung Malaysia. Daripada kira-kira RM5 bilion NPL, sejumlah RM3 bilion atau 60 peratus dikatakan berpunca daripada pinjaman di Semenanjung.

Keadaan tersebut dipersoalkan kerana SDB ditubuhkan oleh Kerajaan Sabah sebagai institusi pengantara kewangan untuk membiayai pembangunan dan memberi manfaat kepada rakyat negeri itu.

Pinjaman baharu digunakan menutup pinjaman lama

Antara dakwaan paling serius ialah kewujudan amalan “evergreening” pinjaman.

Melalui amalan ini, kemudahan kredit baharu didakwa diberikan kepada peminjam yang tidak lagi mampu membayar prinsipal atau faedah pinjaman sedia ada. Wang daripada pinjaman baharu kemudian digunakan untuk membayar hutang lama.

Kesan perakaunannya ialah pinjaman lama kelihatan seolah-olah masih berbayar dan tidak perlu diklasifikasikan sebagai NPL.

Penyataan tuntutan mendakwa amalan tersebut mewujudkan gambaran palsu bahawa pinjaman masih boleh dipulihkan, mengurangkan jumlah peruntukan kerugian kredit dijangka dan menyebabkan kecukupan modal SDB kelihatan lebih kukuh daripada keadaan sebenar.

EY didakwa gagal mengenal pasti serta membangkitkan amalan itu sebagai kelemahan kawalan dalaman yang serius, walaupun data pinjaman dan rekod berkaitan dikatakan tersedia untuk pemeriksaan juruaudit.

Penyata tuntutan juga mendakwa ketiadaan usaha pemulihan yang kukuh terhadap pinjaman lapuk memburukkan kedudukan SDB. Apabila maklumat NPL tidak tepat, pengurusan tidak mempunyai gambaran sebenar mengenai kadar kemungkiran dan kebolehupayaan pinjaman dipulihkan.

Hal inilah yang disebut Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun mengenai bagaimana Shafie Apdal memberi tambahan pinjaman kepada syarikat NPL

 

CAR 18.28 peratus didakwa sebenarnya hanya 3.62 peratus

Satu lagi asas penting saman ialah dakwaan bahawa nisbah kecukupan modal atau CAR SDB bagi tahun kewangan 2017 telah terlebih nyata.

Plaintif mendakwa EY gagal mengenakan tambahan kemerosotan nilai sebanyak RM962.45 juta dalam audit 2017.

Tanpa kemerosotan nilai tersebut, CAR SDB dilaporkan pada kadar 18.28 peratus. Namun, sekiranya jumlah RM962.45 juta itu diambil kira, plaintif mendakwa CAR sebenar hanya 3.62 peratus—jauh di bawah ambang kritikal lapan peratus.

Perbezaan itu bukan dianggap kesilapan teknikal kecil. CAR digunakan untuk menilai keupayaan institusi kewangan menyerap kerugian. Oleh itu, CAR 18.28 peratus menggambarkan institusi yang mempunyai penampan modal jauh lebih kukuh berbanding CAR 3.62 peratus.

Plaintif berhujah kegagalan mengiktiraf kemerosotan nilai tersebut menyembunyikan kegagalan SDB memenuhi tahap minimum kesihatan kewangan sebuah bank.

Selain itu, EY didakwa gagal mengenakan tambahan kemerosotan nilai RM250.47 juta dalam audit tahun kewangan 2011.

 

EY didakwa mengetahui cagaran dinilai menggunakan laporan lapuk

Penyataan tuntutan merujuk Laporan Jawatankuasa Audit dan Pemeriksaan SDB bagi tahun kewangan 2020 yang dikatakan menunjukkan EY telah mengetahui masalah penilaian cagaran.

Menurut dokumen itu, laporan penilaian terkini bagi 12 daripada 39 akaun Tahap 3 telah berusia lebih empat tahun. Empat daripada akaun tersebut menggunakan laporan penilaian yang berusia lebih tujuh tahun.

EY sendiri dikatakan melaporkan bahawa amalan terbaik industri perkhidmatan kewangan ialah penilaian cagaran dikemas kini setiap dua tahun.

Walaupun mengetahui laporan itu sudah terlalu lama, EY didakwa masih tidak bertegas supaya peruntukan ECL dan kemerosotan nilai yang mencukupi dimasukkan dalam akaun.

Plaintif selanjutnya mendakwa EY menyedari keperluan mengiktiraf kemerosotan nilai lebih tinggi tetapi bersetuju dengan permintaan pengurusan lama supaya jumlah sebenar tidak diambil kira kerana tindakan itu akan menyukarkan SDB mendapatkan pembiayaan pasaran dan menjejaskan program bonnya.

Dakwaan tersebut, jika dibuktikan melalui kertas kerja audit, komunikasi dalaman, minit mesyuarat atau keterangan saksi, boleh menjadi antara perkara paling penting dalam perbicaraan. Ia bukan sekadar menyentuh kegagalan mengesan masalah, tetapi mendakwa juruaudit telah mengetahui isu kemerosotan nilai namun tidak memaksa pelarasan dibuat.

Bon RM3 bilion diterbitkan berdasarkan laporan audit

Dari 2008 hingga 2023, operasi SDB dibiayai antaranya melalui penerbitan sekuriti hutang yang disokong surat sokongan atau surat keselesaan Kerajaan Sabah.

Pada 1 Jun 2021, SDB memasuki perjanjian dengan AmInvestment Bank Berhad dan CIMB Investment Bank Berhad untuk program Kertas Komersial dan Nota Jangka Sederhana berjumlah RM3 bilion.

Plaintif mendakwa program bon itu diterbitkan dengan bergantung kepada pendapat audit tanpa pengecualian EY bagi tahun kewangan 2020.

Ketika program tersebut diterbitkan, SDB didakwa sudah tidak solven dan mempunyai nisbah NPL sangat tinggi. Pada 2020, EY dilaporkan merekodkan NPL sebanyak 47.19 peratus serta pinjaman Tahap 2 sebanyak 27.08 peratus.

Walaupun berhadapan angka tersebut, penyata kewangan masih menerima pendapat audit tanpa pengecualian.

Plaintif berhujah sekiranya EY mengeluarkan pendapat audit berkelayakan, penafian pendapat atau pendapat buruk, kedudukan sebenar SDB akan diketahui pemegang saham, pemegang bon, Suruhanjaya Sekuriti, Jabatan Audit Negara dan pihak berkepentingan lebih awal.

Kerajaan Sabah juga didakwa tidak akan terus memberikan surat sokongan, menempatkan deposit atau membenarkan SDB meneruskan pemberian pinjaman dalam keadaan berisiko tanpa tindakan pembetulan.

 

Dakwaan kelemahan kawalan kredit dan pengaruh CEO

Penyataan tuntutan menyenaraikan 21 bentuk kecuaian yang didakwa dilakukan EY.

Antaranya ialah kegagalan mengesan pinjaman di luar mandat SDB, termasuk pembiayaan kepada pemaju hartanah dan syarikat pembinaan di Semenanjung. Sebahagian peminjam berkenaan didakwa pernah ditolak oleh bank perdagangan lain akibat pasaran hartanah yang lemah atau masalah aliran tunai.

EY juga didakwa gagal melaporkan bahawa SDB tidak mempunyai proses formal bagi memastikan kemudahan kredit yang diberikan masih berada dalam lingkungan mandat penubuhannya.

Sebelum 2021, proses pra-saringan permohonan pinjaman dikatakan berada di bawah bidang kuasa eksklusif CEO. Dari 2021 hingga 2023, pra-saringan pula dikendalikan sebuah jawatankuasa tidak formal.

Sehingga 2018, SDB didakwa tidak mempunyai penilaian risiko kredit bebas untuk menyemak permohonan pinjaman baharu dan memantau pinjaman sedia ada. Fungsi risiko kredit hanya ditubuhkan pada 1 Januari 2021, tetapi ia melaporkan kepada Ketua Perbankan dan didakwa masih tidak memiliki kebebasan yang mencukupi.

Plaintif turut mendakwa CEO menghadiri semua mesyuarat Jawatankuasa Audit, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kebebasan jawatankuasa tersebut.

EY didakwa gagal mengesan pengaruh berlebihan CEO, kelemahan audit dalaman, ketiadaan penelitian bebas terhadap kawalan data serta pelanggaran had pelanggan tunggal dan had pinjaman besar.

Audit dalaman dikatakan lemah dan terlalu tertumpu pada pematuhan

Menurut penyataan tuntutan, fungsi audit dalaman SDB lebih tertumpu kepada pematuhan berbanding risiko.

Kakitangan audit dalaman didakwa tidak mempunyai tahap pengalaman dan kompetensi yang mencukupi. Audit pula dikatakan tidak dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan, menyebabkan SDB terdedah kepada risiko ketidakpatuhan pengawalseliaan, salah nyata kewangan, penipuan serta kelemahan kawalan dalaman.

Minit mesyuarat Jawatankuasa Audit sebelum 2023 didakwa menunjukkan perbincangan yang bersifat sepintas lalu, tanpa langkah pembetulan konkrit terhadap kegagalan kawalan yang dikenal pasti.

Keadaan itu dikatakan berbeza selepas lembaga dan pengurusan baharu dilantik pada 2023, apabila laporan audit dalaman mula disusuli tindakan pembetulan.

Ancaman terhadap kebebasan EY turut dibangkitkan

Plaintif mempersoalkan kebebasan EY selepas firma itu mengaudit SDB secara berterusan dari 2011 hingga 2023.

Tempoh berkenaan dikatakan melebihi amalan baik penggiliran juruaudit bagi mengelakkan ancaman keakraban.

Penyataan tuntutan turut menyebut terdapat dua ahli lembaga SDB yang mempunyai pengalaman bekerja dengan EY, sekali gus didakwa mewujudkan potensi ancaman terhadap kebebasan dan objektiviti juruaudit.

Plaintif juga mendakwa sebahagian rancangan audit EY mempunyai unsur templat umum atau “boilerplate”, walaupun SDB berhadapan masalah kredit yang khusus dan serius.

 

Pertemuan 5 Jun 2024 didakwa sebagai “pengakuan liabiliti”

Satu pertemuan antara wakil SDB dan EY dilaporkan berlangsung pada 5 Jun 2024 bagi membincangkan kelemahan dalam penyata kewangan 2017 hingga 2022.

Pertemuan itu dikatakan dihadiri Pengurus Negara EY, Dato’ Abdul Rauf Rashid; wakil EY, George Koshy dan Ahmad Siddiq Ahmad Hasbullah; Pengerusi Eksekutif SDB, Lim Haw Kuang; serta Pengarah SDB, Chen Yin Heng.

Menurut penyataan tuntutan, selepas isu berhubung ketidaktepatan penyata kewangan dibangkitkan, Pengurus Negara EY menawarkan supaya firma itu meletakkan jawatan sebagai juruaudit luar SDB.

Beliau juga didakwa bertanya sama ada SDB mahu menuntut pampasan daripada EY sebagai kaedah menyelesaikan perkara tersebut.

Plaintif menyifatkan tawaran itu sebagai pengakuan liabiliti oleh EY.

Bagaimanapun, status kenyataan tersebut sebagai pengakuan undang-undang masih menjadi persoalan untuk ditentukan mahkamah. EY berhak mempertikaikan konteks perbualan, maksud kenyataan, kebolehterimaan bukti serta tafsiran yang diberikan plaintif.

 

Enam kewajipan undang-undang didakwa dilanggar

Plaintif mendakwa EY bukan sahaja cuai dari sudut profesional, malah melanggar beberapa kewajipan berkanun.

Pertama, EY didakwa melanggar Seksyen 174 Akta Syarikat 1965 dan Seksyen 266 Akta Syarikat 2016 kerana gagal melaporkan dengan betul sama ada penyata kewangan SDB memberikan gambaran benar dan saksama.

Kedua, EY didakwa gagal melaporkan sama ada rekod perakaunan dan daftar yang sewajarnya telah disimpan.

Ketiga, firma itu didakwa gagal menilai sama ada prosedur serta kaedah yang digunakan dalam menyediakan akaun disatukan adalah sesuai.

Keempat, EY didakwa gagal memberikan notis bertulis kepada SDB dan pemegang amanah debentur mengenai perkara yang boleh menjejaskan pelaksanaan tanggungjawab mereka.

Kelima, EY didakwa melanggar Seksyen 276(3) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 kerana tidak mengemukakan laporan segera kepada Suruhanjaya Sekuriti mengenai ketidakaturan yang mungkin menjejaskan keupayaan SDB membayar balik debentur.

Keenam, EY didakwa melanggar Seksyen 26D Akta Pelaporan Kewangan 1997 dengan gagal melaporkan ketidakpatuhan terhadap MFRS 9 serta kegagalan mematuhi beberapa Piawaian Pengauditan Antarabangsa berkaitan penipuan, kawalan dalaman, penilaian risiko, salah nyata dan anggaran perakaunan.

Mengapa Kerajaan Sabah mendakwa terpaksa menyelamatkan SDB

Kerajaan Sabah mendakwa pendapat audit tanpa pengecualian menyebabkan kedudukan sebenar SDB tidak diketahui sehingga 2023.

Apabila masalah itu akhirnya muncul, kerajaan negeri mendakwa tidak mempunyai pilihan realistik selain menyokong SDB bagi mengelakkan kemungkiran hutang dan kesan lebih besar terhadap kewangan Sabah.

Setakat 31 Disember 2023, SDB dikatakan mempunyai bon tertunggak kira-kira RM4.292 bilion, deposit tetap RM1.906 bilion dan kemudahan kredit bank RM260 juta.

Jika sokongan negeri dihentikan, plaintif mendakwa SDB berisiko gagal membayar hutang, diturunkan penarafan daripada AA1 kepada D, menghadapi tuntutan pembayaran segera pemegang bon dan akhirnya digulung.

Kegagalan SDB juga dikatakan boleh menjejaskan penarafan kredit Sabah serta meningkatkan kos pembiayaan syarikat berkaitan kerajaan seperti Sabah Credit Corporation Berhad, SMJ Energy Sdn Bhd dan Qhazanah Sabah Berhad.

 

Pecahan tuntutan RM2.4 bilion

Kerugian pertama yang dituntut ialah RM650 juta deposit tetap Kerajaan Sabah. Melalui surat Kementerian Kewangan Negeri bertarikh 14 November 2023, kerajaan dikatakan telah melucutkan haknya terhadap deposit tersebut bagi menyokong SDB.

Kerugian kedua ialah suntikan modal RM90 juta. Sebanyak RM40 juta dibayar pada 13 Disember 2023 bagi langganan 40 juta saham biasa, manakala RM50 juta lagi dibayar pada 3 Oktober 2024 bagi langganan 50 juta saham.

Plaintif mendakwa saham baharu itu tidak memberi manfaat ekonomi tambahan kerana Ketua Menteri sudah menjadi pemegang saham tunggal SDB dan Kerajaan Sabah merupakan pemilik benefisial muktamadnya.

Kerugian ketiga ialah RM660 juta deposit tetap yang dipersetujui untuk ditukarkan kepada saham keutamaan boleh tebus.

Setakat tarikh saman, RM160 juta telah ditukarkan—RM50 juta pada 30 Julai 2025, RM50 juta pada 30 Oktober 2025 dan RM60 juta pada Mei 2026.

Baki RM200 juta dijadualkan ditukarkan menjelang September 2026, manakala RM300 juta lagi menjelang akhir 2027.

Plaintif mendakwa saham keutamaan itu hampir tidak bernilai dan tidak mempunyai prospek munasabah untuk ditebus.

Kerugian keempat ialah kira-kira RM1 bilion dalam bentuk jangkaan kekurangan antara liabiliti tertunggak SDB dengan jumlah pemulihan yang dijangka. Liabiliti tersebut perlu diselesaikan selewat-lewatnya pada September 2029.

 

Kesalahan EY 

Penyataan tuntutan setebal 101 halaman itu mengemukakan angka, kronologi dan dakwaan terperinci yang serius terhadap EY.  

Bukti paling penting dalam perbicaraan dijangka merangkumi kertas kerja audit EY, komunikasi antara juruaudit dengan pengurusan lama SDB, minit Jawatankuasa Audit, laporan penilaian cagaran, pengiraan ECL, klasifikasi pinjaman Tahap 2 dan Tahap 3, pengiraan CAR serta rekod mengenai kelulusan dan “evergreening” pinjaman.

Mahkamah juga perlu menentukan sama ada EY mengetahui atau sepatutnya mengetahui kedudukan sebenar SDB, sama ada pendapat audit tanpa pengecualian boleh dipertahankan berdasarkan maklumat ketika itu dan sama ada kecuaian audit menjadi punca langsung kepada keseluruhan kerugian RM2.4 bilion yang dituntut. Mungkinkah akan terungkit mana-mana VVIP yang mengarahkan EY?

BERIKUT MERUPAKAN SAMAN MAHKAMAH KERAJAAN SABAH, KETUA MENTERI DAN SDB TERHADAP  EY

 

 

 

 

3 Comments