TAWAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menumpaskan cubaan menyeludup barang kawalan, barang bersubsidi dan rokok tidak berkastam bernilai keseluruhan RM662,088.26 termasuk duti serta cukai menerusi lima kes berasingan di beberapa daerah di negeri itu sepanjang Julai lalu.
Pengarah JKDM Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, rampasan berkenaan melibatkan nilai barang sebanyak RM449,004.13, manakala duti dan cukai dianggarkan RM213,084.13 hasil operasi penguatkuasaan di Tawau, Kota Marudu, Papar dan Sandakan, termasuk menerusi Operasi Joint Task Force (JTF) 2026.
Menurut beliau, rampasan terbesar direkodkan di Tawau pada 27 Julai lalu selepas sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan JKDM Tawau menyerbu sebuah jeti tidak diwartakan hasil maklumat risikan.
Katanya, pemeriksaan dilakukan ke atas enam pengangkut melibatkan dua van, dua lori, sebuah bot laju dan sebuah bot kayu 15 tan.
"Dua lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan.
"Pemeriksaan menemukan 1,100 kilogram beras super import, 1,105 kilogram minyak masak paket, 690 kilogram gula pasir, 50 tong gas petroleum cecair (LPG) 14 kilogram serta pelbagai barangan runcit yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran," katanya pada sidang media di Tawau, pada Selasa.
Beliau berkata, nilai rampasan bagi kes itu dianggarkan RM351,598.82 termasuk cukai dan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Dalam perkembangan sama, operasi di perairan Kampung Hidayat, Tawau pada 29 Julai lalu berjaya menggagalkan cubaan menyeludup rokok tidak berkastam selepas pasukan penguat kuasa mengesan dua bot sedang melakukan aktiviti pemindahan barang.
Sebuah bot bagaimanapun melarikan diri ke arah Pulau Sebatik, manakala pemeriksaan ke atas sebuah lagi bot yang ditinggalkan menemukan 49,600 batang rokok pelbagai jenama disyaki tidak berkastam bernilai RM73,859.20 termasuk cukai.
Di Kota Marudu pula, JKDM Kudat merampas 116,320 batang rokok pelbagai jenama yang disimpan di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Ranau dengan nilai keseluruhan RM106,170.24 termasuk cukai.
Sementara itu, Ops JTF 2026 di Papar berjaya mematahkan cubaan mengedar 80,000 batang rokok putih disyaki tidak berkastam bernilai RM85,360.
Di Sandakan, pemeriksaan semasa Sekatan Jalan Raya (SJR) di Simpang Beluran pula membawa kepada rampasan 50,000 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM45,100 termasuk cukai.
Dr Ahmad Taufik berkata, kes membabitkan rampasan rokok di Tawau disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, manakala kes di Kota Marudu, Papar dan Sandakan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

