KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Jikun menggesa pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima setiap perubahan serta arahan baharu dengan sikap terbuka demi memperkukuh organisasi dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan.
Beliau berkata warga PDRM tidak sepatutnya mempunyai persepsi negatif terhadap dasar atau arahan yang diperkenalkan, sebaliknya memberi kerjasama bagi memastikan setiap pelaksanaan berjalan lancar.
"Jangan memperkatakan arahan baharu itu salah atau tidak sesuai. Saya mahu semua memberi kerjasama dan menerima perubahan yang diperkenalkan demi kebaikan pasukan.
"Kita perlu bersatu hati dan bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan setiap dasar yang diperkenalkan dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, yang menyaksikan Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman menyerahkan tugas kepada Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain sebagai ketua polis daerah yang baharu.
Jauteh turut menggesa pegawai dan anggota memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan kecekapan, khususnya dalam penyiasatan kes dan penyediaan kertas siasatan.
Katanya, perkembangan sistem digital membolehkan pegawai penyiasat mengendalikan lebih banyak kes berbanding ketika beliau memulakan kerjaya dalam pasukan.
"Gunakan kemudahan yang ada untuk mempercepatkan siasatan supaya masyarakat mendapat keadilan dengan lebih cepat. Jangan apabila kerja menjadi lebih mudah, kita pula menjadi malas," katanya.
Beliau berkata pada awal perkhidmatannya, keseluruhan proses penyiasatan dilakukan secara manual sehingga mengambil masa kira-kira seminggu untuk menyiapkan satu kertas siasatan kes pembunuhan.
Menurutnya, keadaan kini jauh berbeza apabila pelbagai sistem digital membantu mempercepatkan penyediaan dokumen dan urusan operasi.
Jauteh turut berharap pegawai yang mengikuti kursus, peperiksaan atau proses kenaikan pangkat berjaya mencapai matlamat masing-masing, sambil mengingatkan bahawa setiap tugas yang dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab adalah satu amanah dan boleh menjadi amal ibadah.
Beliau turut menggesa seluruh warga PDRM terus mengekalkan semangat kebersamaan serta mengelakkan pertikaian berhubung arahan baharu demi memastikan organisasi terus bergerak ke hadapan.

