12 Kerusi, Presiden SAPP bertanding kerusi Parlimen Kota Kinabalu
00:04 Apr 26, 2018  |  By SabahKini2
12 Kerusi, Presiden SAPP bertanding kerusi Parlimen Kota Kinabalu

Nama-nama calon itu diumumkan oleh Timbalan Presiden SAPP, Melanie Chia pada Majlis Pengumuman Calon-Calon dan Penyerahan Watikah PRU-14 di sini hari ini.

KOTA KINABALU - Parti Maju Sabah (SAPP) mengumumkan 12 calon iaitu 1 kerusi Parlimen dan 11 Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

SAPP merupakan antara parti pembangkang tempatan di bawah Gabungan Sabah selain Parti Harapan Rakyat (Harapan), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).

Nama-nama calon itu diumumkan oleh Timbalan Presiden SAPP, Melanie Chia pada Majlis Pengumuman Calon-Calon dan Penyerahan Watikah PRU-14 di sini hari ini.

Menurut beliau, antara 12 calon yang ditampilkan enam daripada mereka merupakan muka baharu bagi 11 kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen di negeri ini.

Calon baharu berkenaan antaranya ialah calon DUN Tanjung Aru, Noraiza Mohammad Noor berusia 47 tahun, anak kepada bekas menteri negeri, Datuk Mohammad Noor Mansorr.

Selain itu, ahli perniagaan, John Stephen Dionysius, 46, bertanding kerusi DUN Inanam manakala aktivis dan jurufoto profesional Lim Kat Chung di DUN Api Api.

Ahli perniagaan yang juga pengasas bersama SAPP, Wong Yu Chin, 53, calon bagi kerusi DUN Lahad Datu dan usahawan Pang Thou Chung pula bertanding di kerusi DUN Sri Tanjung.

Turut dicalonkan, bekas Ahli Majlis Penampang, Chong Pit Fah (DUN Kepayan); Jimmy Jawatan, 55, calon DUN Melalap dan Danim Siap, 64, DUN Moyog.

Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri kembali menggalas tanggungjawab bertanding kerusi Parlimen Kota Kinabalu. 

Dalam pada itu SAPP turut bekerjasama dengan parti Gabungan Sabah dan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

Atas tiket kerjasama itu, tujuh calon SAPP akan menggunakan logo Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Harapan Rakyat.

Kerusi tersebut adalah DUN Moyog, Kundasang, Melalap dan Kepayan akan menggunakan logo STAR manakala Tanjung Aru, Lahad Datu dan Sri Tanjung akan menggunakan logo Harapan Rakyat.


Senarai calon kerusi Parlimen SAPP Sabah

Parlimen

  • P.172 Kota Kinabalu - Datuk Yong Teck Lee

 DUN

  • N.13 Inanam - John Stephen Dionysius
  • N.14 Likas - Richard Yong We Kong
  • N.15 Api Api - Lim Kat Chung
  • N.16 Luyang - Gee Tien Siong
  • N.17 Tanjung Aru - Noraiza Mohammad Noor
  • N.19 Kepayang - Chong Pit Fah
  • N.20 Moyog - Aloysius Danim Siap
  • N.29 Kundasang - Japiril Suhaimin
  • N.35 Melalap - Jimmy Jawatah
  • N.50 Lahad Datu - Wong Yu Chin
  • N.57 Sri Tanjung - Pang Thou Chung
1 Comment