Sabah uji teknologi Internet satelit terus ke telefon menerusi JENDELA 2.0
15:08 Aug 10, 2026  |  By SabahKini2
Sabah uji teknologi Internet satelit terus ke telefon menerusi JENDELA 2.0

Beliau berkata beberapa lokasi yang bersesuaian di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia akan dikenal pasti bagi pelaksanaan konsep bukti (proof of concept) teknologi berkenaan.

KOTA KINABALU: Teknologi Internet satelit terus ke peranti (direct-to-device) akan diuji di beberapa lokasi di Sabah menerusi pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa Dua, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata beberapa lokasi yang bersesuaian di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia akan dikenal pasti bagi pelaksanaan konsep bukti (proof of concept) teknologi berkenaan.

“Ini kita akan lakukan mengikut JENDELA Fasa Dua. Kita akan cari lokasi di Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk buat percubaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.

Kunjungan hormat itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.

Fahmi berkata kunjungan berkenaan turut memberi peluang kepada beliau menyampaikan perkembangan terkini mengenai beberapa inisiatif kementerian serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau berkata JENDELA Fasa Dua akan bermula tidak lama lagi dan melibatkan lebih 300 lokasi masing-masing di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Katanya, sebahagian lokasi akan melibatkan pemasangan menara telekomunikasi, manakala lokasi lain akan menggunakan Internet satelit atau teknologi alternatif yang tidak memerlukan pembinaan menara.

“Bagi kawasan lebih terpencil tetapi ada penduduk, kita menggunakan strategi berbeza kali ini,” katanya.

Fahmi berkata pemasangan menara telekomunikasi memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun selain berdepan pelbagai cabaran.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata inisiatif Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi digital Sabah menerusi penyediaan perkhidmatan Internet yang lebih pantas dan stabil.

Beliau berkata inisiatif berskala besar itu akan menghubungkan Sedili, Kuching dan Miri di Sarawak dengan Tanjung Aru, Sandakan dan Tawau di Sabah.

“Sebelum ini, titik pendaratan adalah di Tanjung Aru, berdekatan Kota Kinabalu, tetapi kita dapati kabel dasar laut perlu dipasang di pesisir pantai hinggalah ke Tawau.

“Ini satu inisiatif baharu yang kita percaya amat bermakna untuk membangunkan ekonomi digital di Sabah,” katanya.

Fahmi berkata kementeriannya akan memastikan semua inisiatif, khususnya berkaitan prasarana digital di Sabah, dilaksanakan mengikut jadual serta kos yang ditetapkan.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan komited memperkukuh tahap celik digital dalam kalangan masyarakat bagi mengurangkan risiko mereka menjadi mangsa penipuan dalam talian, jenayah siber dan aktiviti jenayah digital lain.

Menurutnya, MCMC mengesan lebih 2,000 akaun palsu di seluruh negara dalam tempoh lima hingga enam minggu kebelakangan ini.

Beliau berkata akaun berkenaan antara lain digunakan untuk menyebarkan berita palsu, kandungan berkaitan 3R serta hantaran mengenai penipuan dan judi dalam talian.

“Ini satu perkara yang agak membimbangkan termasuk bagi Sabah. Kita lihat tidak mustahil akaun-akaun palsu juga banyak beroperasi di Sabah.

“Saya telah maklumkan kepada TYT bahawa pihak MCMC akan melipatgandakan usaha untuk membanteras akaun-akaun palsu terutama yang dibangunkan atau diwujudkan untuk melakukan aktiviti jenayah dalam talian,” katanya.

Comment