Masidi gesa industri pelancongan Sabah terus berkembang
18:08 Aug 11, 2026  |  By SabahKini2
Masidi gesa industri pelancongan Sabah terus berkembang

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri komited menyokong pembangunan sektor pelancongan yang dilihat penting dalam memperkukuh ekonomi Sabah.

KOTA KINABALU: Pengusaha industri pelancongan di Sabah digesa meneroka peluang baharu bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri komited menyokong pembangunan sektor pelancongan yang dilihat penting dalam memperkukuh ekonomi Sabah.

Katanya, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pemain industri perlu diperkasa bagi membangunkan ekosistem pelancongan yang lebih berdaya saing, selain meningkatkan daya tarikan Sabah sebagai destinasi pilihan.

“Syarikat pelancongan perlu terus memainkan peranan aktif dalam menyokong pembangunan ekonomi negeri melalui sektor pelancongan yang berdaya saing dan mampan, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0,” katanya.

Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Sedco Travel & Tours yang diketuai pengerusinya, Mohd Shukor Mumin, di pejabatnya di sini.

Dalam pertemuan itu, beliau menerima taklimat mengenai perkembangan semasa syarikat berkenaan serta potensi untuk memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

Perbincangan turut merangkumi usaha memperluas perkhidmatan dan meneroka peluang baharu yang mampu memberikan nilai tambah kepada Sabah.

Masidi berkata, penglibatan aktif pemain industri penting bagi memastikan sektor pelancongan terus berkembang secara mampan dan memberi manfaat lebih besar kepada ekonomi negeri.

Comment