Hajiji mahu pembangunan Tuaran setara daerah lain di Sabah
18:08 Aug 11, 2026  |  By SabahKini2
Hajiji mahu pembangunan Tuaran setara daerah lain di Sabah

Beliau berkata, sebagai wakil rakyat DUN Sulaman dan berasal dari Tuaran, beliau mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pembangunan turut dinikmati penduduk di DUN Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu.

TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mahu pembangunan di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Tuaran dilaksanakan secara seimbang agar setara dengan daerah lain di negeri itu.

Beliau berkata, sebagai wakil rakyat DUN Sulaman dan berasal dari Tuaran, beliau mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pembangunan turut dinikmati penduduk di DUN Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu.

"Saya sentiasa mencari jalan untuk bantu pastikan kawasan Tuaran, khususnya Sulaman dan Pantai Dalit, termasuk juga Tamparuli dan Kiulu terus membangun dan maju.

"Kalau boleh kita mahu daerah Tuaran ini lebih maju atau setara pembangunannya dengan daerah lain di seluruh Sabah, lebih-lebih lagi ini adalah kawasan Ketua Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi DUN Sulaman dan DUN Pantai Dalit Sesi 2026-2030 serta Penyerahan Bantuan Tunai kepada Peniaga dan Penjaja Tepi Jalan Tahun 2026, di sini hari ini.

Pada majlis itu, 48 Pengerusi JKKK bagi DUN Sulaman dan 45 Pengerusi JKKK bagi DUN Pantai Dalit menerima watikah pelantikan bagi tempoh perkhidmatan 2026 hingga 2030.

Turut disampaikan bantuan tunai RM3,000 kepada 200 peniaga dan penjaja tepi jalan menerusi peruntukan Sentuhan Kasih Hajiji bagi tahun ini.

Hajiji berkata, bantuan berkenaan bertujuan membantu meringankan beban peniaga kecil dalam menampung keperluan keluarga serta menjana pendapatan.

"Ini adalah bantuan tunai Sentuhan Kasih daripada saya, setiap tahun ada bantuan kepada peniaga kecil-kecilan ini kerana saya prihatin.

"Jadi tahun ini saya bagi RM3,000 kepada seramai 200 orang di Sulaman dan Pantai Dalit. Program ini termasuk dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu memberi kesejahteraan kepada rakyat dan inilah antara asas yang perlu kita laksanakan," katanya.

Menurut Hajiji, usaha membawa pembangunan ke Tuaran termasuk penyediaan kemudahan asas seperti jalan kampung serta pengembangan aktiviti ekonomi yang memberi manfaat kepada penduduk.

Beliau berkata, usaha berkenaan juga sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan rakyat di Sulaman yang diterimanya sepanjang 36 tahun menjadi wakil rakyat di kawasan itu, termasuk lima tahun sebagai Ketua Menteri.

Dalam pada itu, Hajiji mengingatkan Pengerusi JKKK yang dilantik supaya melaksanakan amanah sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan dengan sebaiknya.

Katanya, peranan JKKK bukan hanya berkaitan pelaksanaan projek pembangunan, sebaliknya turut merangkumi usaha menyatupadukan masyarakat di peringkat akar umbi.

"Tugas lebih besar bukan setakat melaksanakan projek, tapi banyak lagi aktiviti lain yang boleh memberi kesedaran kepada rakyat dan melakukan aktiviti yang membawa kemajuan.

"Contohnya berganding bahu dengan rakyat melalui aktiviti gotong-royong di kampung. Ini boleh diusahakan kerana ia boleh merapatkan silaturahim sesama kita.

"Bukan soal semata-mata memohon projek dan lain-lain tapi perkara asas merapatkan silaturahim, kekeluargaan di kampung, gotong-royong, adakan perjumpaan selalu bukan saja dengan AJK, tapi juga orang kampung dalam melahirkan masyarakat bersatu-padu," katanya.

Comment