KOTA KINABALU: Koperasi di Sabah perlu memperkukuh tadbir urus dan menyesuaikan strategi perniagaan dengan perubahan ekonomi semasa bagi memastikan sektor itu kekal berdaya saing serta terus memberi manfaat kepada masyarakat.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, gerakan koperasi mempunyai peranan penting dalam menyediakan peluang ekonomi kepada masyarakat menerusi aktiviti yang mampu menjana pendapatan dan meningkatkan kesejahteraan anggota.
Katanya, kerajaan negeri komited menyokong dan memperkasakan gerakan koperasi sebagai pemangkin pembangunan ekonomi negeri, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi inklusif.
“Kerajaan negeri sentiasa komited untuk menyokong dan memperkasakan gerakan koperasi sebagai salah satu pemangkin pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Masidi berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Koperasi Green Sabah Berhad yang diketuai Pengerusinya, Datuk Mohd Salleh Abbas, di pejabatnya di sini.
Beliau berkata Koperasi Green Sabah Berhad mempunyai pengalaman luas dalam gerakan koperasi sejak ditubuhkan pada 1959 dan berjaya menyesuaikan kegiatan perniagaannya dengan perubahan landskap ekonomi.
Katanya, keupayaan koperasi itu mempelbagaikan aktiviti perniagaan serta meneroka bidang baharu boleh dijadikan contoh oleh koperasi lain di Sabah.
“Keupayaan untuk mempelbagaikan kegiatan perniagaan dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa wajar dijadikan contoh oleh koperasi lain di Sabah, khususnya dalam usaha mengenal pasti bidang yang mempunyai potensi pertumbuhan,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Masidi turut diberi taklimat mengenai perkembangan semasa, aktiviti perniagaan dan perancangan Koperasi Green Sabah Berhad.
Beliau berharap hubungan dan kerjasama antara kerajaan negeri dengan koperasi berkenaan terus diperkukuh bagi menyokong pembangunan ekonomi serta memperluas peluang ekonomi kepada masyarakat Sabah.

