14 serbuan, 16 lelaki ditahan dalam Op Kandang Bersepadu
15:08 Aug 14, 2026  |  By SabahKini2
14 serbuan, 16 lelaki ditahan dalam Op Kandang Bersepadu

Operasi selama 10 jam bermula jam 8 pagi hingga 6 petang itu dijalankan di sekitar Penampang, Tawau, Keningau, Semporna, Sandakan, Beluran, Lahad Datu dan Kota Marudu.

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu 14 lokasi disyaki menjalankan kegiatan laga ayam sabung dan perjudian haram di lapan daerah di Sabah menerusi Op Kandang Bersepadu, kelmarin.

Operasi selama 10 jam bermula jam 8 pagi hingga 6 petang itu dijalankan di sekitar Penampang, Tawau, Keningau, Semporna, Sandakan, Beluran, Lahad Datu dan Kota Marudu.

Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nor Omar Sappi berkata, operasi bersepadu berkenaan dilaksanakan bagi membanteras kegiatan laga ayam sabung, perjudian haram serta aktiviti lain yang menyalahi undang-undang.

Menurutnya, seramai 128 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi itu termasuk 86 anggota Briged Sabah PGA.

"Operasi turut disertai empat pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 22 pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), 14 pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dua pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.

"Hasil 14 serbuan yang dijalankan, seramai 16 lelaki berusia antara 31 hingga 70 tahun ditahan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Nor Omar berkata, daripada jumlah tersebut, 13 merupakan rakyat tempatan manakala tiga lagi warga asing.

Katanya, semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

"Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan menerusi operasi ini dianggarkan mencecah RM9.602 juta.

"Bahagian terbesar membabitkan ayam sabung yang dianggarkan bernilai RM8.935 juta, diikuti pelbagai peralatan bernilai RM650,470," katanya.

Beliau berkata, turut dirampas seekor musang mati dianggarkan bernilai RM4,000, duri landak bernilai RM11,540 dan sisik tenggiling bernilai RM500.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan Sabah 2015, Seksyen 21(1)(i) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 41(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

"Tindakan turut diambil mengikut undang-undang kecil berkaitan pelesenan penggunaan premis bagi perdagangan, perniagaan, industri dan profesion.

"Semua tangkapan serta rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Comment