Penganggur bawa 10 bungkusan syabu, terima hukuman 30 tahun penjara
16:08 Aug 18, 2026  |  By SabahKini2
Penganggur bawa 10 bungkusan syabu, terima hukuman 30 tahun penjara

Tertuduh berusia 30 tahun membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos.

TAWAU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Tawau, pada Selasa, selepas mengaku bersalah mengedar 6,968.6 gram methamphetamine atau syabu, dua tahun lalu.

Tertuduh berusia 30 tahun membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 6,968.6 gram di Balai Ketibaan, Terminal Lapangan Terbang Tawau pada jam 12.30 tengah hari, 30 Julai 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh tiba di Lapangan Terbang Tawau sebelum pergerakannya yang mencurigakan disedari seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Tertuduh kemudian diarahkan menjalani pemeriksaan terhadap bagasi berwarna hitam yang dibawanya.

Hasil pemeriksaan menemukan 10 bungkusan berwarna biru yang mengandungi dadah disyaki syabu dengan berat keseluruhan 6,968.6 gram.

Terdahulu, mahkamah memberi peluang kepada tertuduh untuk membuat rayuan sebelum dia memohon supaya hukuman penjara dikira bermula dari tarikh tangkapan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan serta membenarkan hukuman itu dikira bermula dari tarikh tangkapan pada 30 Julai 2024.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Perundangan JKDM, Arif Mohamad Shariff, manakala tertuduh diwakili peguam Vivian Thien.

Comment