Sabah mahu sektor hotel tingkat profesionalisme pekerja
21:08 Aug 19, 2026  |  By SabahKini2
Sabah mahu sektor hotel tingkat profesionalisme pekerja

Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Perkasa Hotel Holdings yang diketuai pengerusinya, Datuk Flovia Ng, bersama rombongan di pejabatnya di sini.

KOTA KINABALU: Profesionalisme dan etika dalam kalangan pekerja sektor perhotelan perlu diberi keutamaan bagi memastikan pelancong mendapat perkhidmatan berkualiti ketika berkunjung ke Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata tahap perkhidmatan, layanan mesra serta sikap profesional pekerja bukan sahaja mencerminkan imej sesebuah hotel, malah turut mempengaruhi persepsi pelancong terhadap kualiti industri hospitaliti dan imej Sabah sebagai destinasi pelancongan.

“Kualiti perkhidmatan perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam memastikan pelancong menerima pengalaman terbaik sepanjang berada di Sabah. Ia sekali gus meningkatkan keyakinan dan kepuasan mereka serta mendorong mereka untuk kembali berkunjung ke negeri ini pada masa akan datang,” katanya.

Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Perkasa Hotel Holdings yang diketuai pengerusinya, Datuk Flovia Ng, bersama rombongan di pejabatnya di sini.

Dalam pertemuan itu, beliau diberi taklimat mengenai perkembangan operasi, pengurusan serta perancangan syarikat, termasuk usaha meningkatkan keupayaan tenaga kerja melalui latihan dan pembangunan kemahiran secara berterusan. Menurut Masidi, peningkatan kemahiran pekerja perlu dilakukan secara berterusan bagi memenuhi keperluan industri hospitaliti yang semakin berkembang.

“Tenaga kerja yang kompeten penting bagi memastikan setiap aspek perkhidmatan dapat disampaikan dengan cekap dan profesional. Saya berharap usaha ini dapat membantu melahirkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran serta mampu memenuhi jangkaan pelancong,” katanya.

Beliau berkata peningkatan mutu perkhidmatan dalam sektor perhotelan turut memberi kesan positif terhadap pertumbuhan industri pelancongan Sabah.

Katanya, industri hospitaliti merupakan antara komponen penting dalam ekosistem pelancongan negeri dan pembangunan tenaga kerja perlu bergerak seiring dengan usaha memperkukuh kemudahan serta produk pelancongan. Masidi turut menekankan kepentingan menyediakan pengalaman perkhidmatan yang konsisten kepada semua pelancong tanpa mengira latar belakang atau negara asal.

“Pengalaman positif sepanjang berada di Sabah boleh menjadi antara faktor yang mendorong pelancong untuk datang semula dan mengesyorkan destinasi ini kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata kerjasama lebih erat antara pemain industri dan kerajaan juga perlu diperkukuh bagi memastikan sektor hospitaliti terus berkembang dan menyumbang kepada ekonomi negeri.

Comment