TAWAU: Sebanyak 70 lot kedai menjual pakaian ‘bundle’ musnah dalam kebakaran di Kampung Titingan di sini awal pagi tadi.
Kebakaran kira-kira jam 4.40 pagi itu melibatkan deretan kedai tidak kekal berkeluasan kira-kira 100 x 120 meter persegi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.44 pagi sebelum 16 anggota bersama empat jentera dihantar ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba tujuh minit kemudian selepas menempuh perjalanan sejauh kira-kira 3km.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kebakaran membabitkan kira-kira 70 lot kedai menjual pakaian bundle jenis tidak kekal yang terbakar 100%.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 700 kaki dengan enam pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada jentera bomba dan pili bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jemishin berkata kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.23 pagi, sekali gus mengelakkan api daripada merebak ke kawasan berhampiran.
Katanya, sebanyak 350 rumah dan lot kedai berjaya diselamatkan daripada turut terbakar.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian ini. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.42 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi,” katanya.
Beliau berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum dikenal pasti dan akan dimaklumkan selepas siasatan lanjut.

