Pemandu dipercayai tertidur, kereta langgar pokok sebelum terbalik
19:08 Aug 27, 2026  |  By SabahKini2
Pemandu dipercayai tertidur, kereta langgar pokok sebelum terbalik

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kemalangan berlaku ketika kereta berkenaan dipandu wanita warga Indonesia berusia 26 tahun dari Semporna menuju ke Tawau.

TAWAU: Seorang wanita warga Indonesia maut selepas kereta dinaiki terbabas sebelum melanggar pokok dan terbalik ke dalam parit di Batu 16, Jalan Apas, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.26 petang itu, mangsa berusia 24 tahun tercampak keluar dari kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.20 malam ketika menerima rawatan di Hospital Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kemalangan berlaku ketika kereta berkenaan dipandu wanita warga Indonesia berusia 26 tahun dari Semporna menuju ke Tawau.

“Siasatan awal mendapati pemandu dipercayai tertidur ketika memandu sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan.

“Kenderaan itu kemudian melanggar sebatang pokok sebelum terbalik ke dalam parit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemandu mengalami kecederaan pada bahagian muka dan tengkuk, manakala penumpang mengalami kecederaan pada muka, badan dan dada selain tercampak keluar dari kenderaan.

Kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan, namun penumpang disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.20 malam.

Rosdi berkata, siasatan awal turut mendapati pemandu tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala kereta berkenaan adalah milik rakannya.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan siasatan serta mengenal pasti keseluruhan keadaan yang membawa kepada kejadian,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya memastikan diri cukup rehat sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan kemalangan.

“Sekiranya berasa mengantuk ketika memandu, berhenti di lokasi selamat dan berehat terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Joseph Jelian di talian 016-806 7272,” katanya.

Comment