Puad Letak Jawatan JASA terus berfungsi- Salleh
09:04 Apr 27, 2018  |  By SabahKini2
Puad Letak Jawatan JASA terus berfungsi- Salleh

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pegawai-pegawai JASA seluruh negara akan terus melaksanakan tugas seperti diamanahkan.

PUTRAJAYA: Peletakan jawatan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) tidak menjejaskan pendirian dan fungsi jabatan itu sebagai organisasi kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pegawai-pegawai JASA seluruh negara akan terus melaksanakan tugas seperti diamanahkan.

“Saya sudah bertemu pegawai-pegawai kanan JASA di peringkat pusat dan negeri-negeri, dan mereka memberi jaminan peletakan jawatan Datuk Dr Puad tidak menjejaskan pendirian dan fungsi JASA sebagai organisasi kerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Sehubungan itu, katanya tidak timbul soal jentera JASA akan terjejas seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Mohd Puad pada Rabu lepas, dalam laman Facebook miliknya mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Pengarah Jasa, rentetan tidak disenaraikan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Johor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Mohd Puad berkhidmat selama 3 tahun sebagai Ketua Pengarah JASA.

Salleh juga berkata beliau dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad mengenai surat peletakan jawatan Mohd Puad yang berkuat kuasa pada 26 April 2018.

“Bagi pihak diri saya serta warga KKMM, kami mengucapkan terima kasih dan penghargaan atas segala sumbangan dan jasa beliau sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pengarah JASA,” katanya.

Comment