PUTRAJAYA: Jenazah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali selamat dikebumikan di Pusara Negara di Presint 20 di sini pada jam 6.20 petang tadi.
Pengebumian Allahyarhamah disempurnakan menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara yang diketuai Kapten Ahmad Saufi Md Isa dari Markas Tentera Darat.
Istiadat itu membabitkan lapan pegawai gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Suasana hiba menyelubungi Pusara Negara ketika istiadat berlangsung dengan pemimpin negara dan orang ramai memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.
Selepas pengebumian, Jalur Gemilang diserahkan oleh Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Datuk Abd Shukor Mahmood. Talkin kemudian dibacakan Imam Besar Masjid Putra, Dr Muhamad Zakuwa Rodzali.
Ribuan orang termasuk pemimpin negara hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah.
Antara kenamaan yang hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Siti Hasmah, isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi pada usia 100 tahun. Allahyarhamah meninggalkan tujuh anak.
Jenazah dibawa pulang dari IJN ke kediaman keluarga di The Mines, Seri Kembangan pada 10.48 pagi sebelum dibawa ke Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah untuk disolatkan.
Siti Hasmah antara wanita Melayu terawal bergelar doktor perubatan dan kemudiannya mencurahkan khidmat dalam bidang kesihatan awam negara.
Dilahirkan di Kampung Jawa, Klang, Selangor pada 1926, beliau melanjutkan pengajian perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura menerusi biasiswa kerajaan.
Beliau merupakan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya ketika itu. Di institusi berkenaan, beliau bertemu Mahathir sebelum mereka berkahwin pada 1956.
Selain dikenali sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri, Siti Hasmah turut meninggalkan sumbangan dalam bidang kesihatan khususnya berkaitan kesihatan ibu dan kanak-kanak serta kesejahteraan masyarakat.

