LAHAD DATU: Aktiviti memindahkan isirung kelapa sawit dari sebuah lori treler ke premis tidak bernombor terbongkar selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah di Jalan POIC, di sini, semalam.
Dalam serbuan itu, kira-kira 52 tan metrik isirung kelapa sawit dipercayai disimpan tanpa lesen sah dirampas.
Turut dirampas sebuah lori treler Nissan Diesel, dua jentera Caterpillar serta alat sukat bersama kelengkapannya.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM709,000.
Menurutnya, serbuan dilakukan Unit Risik Marin hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan di premis berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati kira-kira 52 tan metrik isirung kelapa sawit dipercayai disimpan tanpa lesen sah.
“Dua lelaki berusia 54 dan 35 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Amri berkata, beberapa individu lain yang berada di lokasi melarikan diri ke kawasan semak ketika serbuan dilakukan.
Kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(d), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005 di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).
Beliau berkata, semua barang rampasan akan diserahkan kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Cawangan Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
“Sepanjang tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 14 kes mengikut akta berkenaan dengan 27 tangkapan dan nilai keseluruhan rampasan RM9.35 juta.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat risikan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan yang melanggar undang-undang serta melindungi kepentingan ekonomi negara,” katanya.

