KOTA KINABALU: Malaysia dijangka berdepan kekurangan lebih 13,000 pakar perubatan menjelang 2030, sekali gus memerlukan langkah menyeluruh bagi memastikan tenaga profesional dalam sektor kesihatan dapat dikekalkan.
Pengerusi Backbenchers (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, antara langkah yang perlu dipertimbangkan kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah menawarkan jawatan tetap serta skim gaji yang lebih kompetitif kepada doktor tempatan.
Menurut beliau, penstrukturan semula sistem kerjaya dan tawaran perkhidmatan doktor perlu dilaksanakan bagi memastikan Malaysia mampu bersaing dengan tawaran pekerjaan yang lebih menarik di negara maju.
Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan doktor tempatan dan graduan perubatan memilih untuk berhijrah ke luar negara.
“Kerajaan perlu mengembalikan sistem tawaran jawatan tetap kepada doktor kerajaan termasuk doktor pakar dengan tawaran gaji baharu yang lebih konsisten.
“Lantikan secara kontrak sepatutnya lebih sesuai untuk doktor perubatan yang didatangkan dari luar negara,” katanya dalam kenyataan media.
Masiung berkata, penganalisis BIMB Securities Research sebelum ini meramalkan Malaysia akan mengalami kekurangan lebih 13,000 pakar perubatan menjelang 2030.
Menurutnya, sebahagian doktor tempatan dan graduan perubatan memilih untuk berhijrah ke luar negara kerana kurang berminat dengan sistem perkhidmatan secara kontrak yang ditawarkan KKM.
“Masalah kita bukan kekurangan graduan perubatan, tetapi kekurangan pakar dan cabaran mengekalkan jururawat berpengalaman yang menjadi tulang belakang hospital kerajaan,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) berkata, persaingan mendapatkan tenaga kerja berpengalaman turut berlaku antara hospital kerajaan dan swasta.
Katanya, peluang pekerjaan di luar negara yang menawarkan pakej lebih menarik turut menjadi faktor yang menyumbang kepada cabaran mengekalkan tenaga profesional dalam sektor kesihatan negara.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu melihat isu berkenaan secara menyeluruh termasuk dari aspek struktur kerjaya, skim gaji, status lantikan dan peluang pembangunan profesional bagi memastikan doktor serta jururawat berpengalaman terus berkhidmat dalam sistem kesihatan awam.

