KOTA KINABALU: Tiada bukti menunjukkan golongan kenamaan (VIP), individu amat berpengaruh (VVIP) atau ahli politik menggunakan pengaruh bagi melindungi lima remaja perempuan yang dikaitkan dengan kes buli membabitkan Zara Qairina Mahathir.
Perkara itu dimaklumkan pegawai penyiasat, Wong Yew Zhung, ketika memberi keterangan di Mahkamah Koroner, hari ini.
Saksi ke-83 itu berkata, siasatan yang dijalankan juga tidak menemukan individu VIP, VVIP atau ahli politik yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan lima remaja terbabit.
Beliau menjawab demikian ketika disoal peguam Ahmad Fikry Jaafar Abdullah, yang mewakili empat remaja dalam kes berkenaan.
Wong turut memberitahu mahkamah bahawa pihaknya tidak menerima sebarang laporan mendakwa Zara dibunuh atau dicederakan oleh mana-mana individu, termasuk dakwaan mangsa dipukul menggunakan objek tumpul.
Katanya, tiada waris Zara memaklumkan kepadanya bahawa pelajar Tingkatan Satu itu pernah dibuli oleh pelajar senior.
Selain itu, tiada saksi tampil memberikan keterangan bahawa Zara dibuli sehingga menyebabkan kematiannya, manakala pemeriksaan doktor juga tidak menyatakan kecederaan dialami mangsa mempunyai unsur jenayah.
Ketika ditanya sama ada kecederaan Zara konsisten dengan kejadian jatuh dari tempat tinggi berdasarkan keterangan Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, Wong mengesahkannya.
Beliau turut bersetuju dengan pendapat pakar berkenaan bahawa kaki Zara mengalami impak pertama, manakala kecederaan pada badan dan kepala berlaku akibat impak susulan.
Dalam prosiding sama, Wong mengakui mempunyai kuasa mengarahkan bedah siasat dilakukan walaupun waris mangsa tidak bersetuju, sekiranya siasatan menemukan unsur jenayah.
Bagaimanapun, beliau berkata waris Zara menolak apabila ditanya sama ada mereka mahu bedah siasat dilakukan.
Ketika disoal Ahmad Fikry, Wong bersetuju bahawa berdasarkan siasatan ketika itu, tiada unsur jenayah yang mewajibkan bedah siasat dilakukan terhadap Zara.
Beliau turut mengesahkan keputusan tidak mewajibkan bedah siasat bukan dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan keadaan dan hasil siasatan ketika itu.
Zara, 13, meninggal dunia di HQE pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada awal pagi.

