JAKARTA: Indonesia meluluskan tawaran bantuan daripada negara jiran bagi membantu menangani kebakaran hutan dan tanah yang melanda negara itu, dengan perbincangan teknikal mengenai pelaksanaannya sedang dijalankan.
Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir berkata, Presiden Prabowo Subianto telah meluluskan cadangan bantuan berkenaan, manakala Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) sedang memperincikan urusan pelaksanaannya.
“Bantuan yang ingin diberikan negara jiran telah dibincangkan dan kini sedang diproses.
“Seperti yang kita ketahui, Presiden juga telah memberikan kelulusan dan perkara itu kini dibincangkan di peringkat teknikal,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tertutup dengan Komisi I Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Jakarta.
Bagaimanapun, Arrmanatha tidak mendedahkan negara yang menawarkan bantuan atau jenis bantuan yang sedang dipertimbangkan.
Sebelum ini, Malaysia menawarkan bantuan dengan mengatur gerak sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter dan 52 anggota bagi membantu operasi memadam kebakaran di Indonesia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 19 September lalu berkata, Prabowo menerima tawaran tersebut ketika pertemuan mereka di Hambalang, Jawa Barat, sehari sebelumnya.
Singapura turut menyatakan kesediaan membantu Indonesia apabila Menteri Kemampanan dan Sekitaran negara itu, Grace Fu, pada 10 Oktober lalu memaklumkan bahawa beliau telah menghubungi rakan sejawatnya dari Indonesia, Jumhur Hidayat, bagi menawarkan sokongan.
Menurut Arrmanatha, kebakaran berkenaan mendapat perhatian serius Prabowo berikutan kesannya terhadap kawasan yang terjejas akibat jerebu.
Katanya, keadaan cuaca yang mencabar turut menjejaskan usaha memadam kebakaran, meskipun pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi mengawal keadaan.
Beliau berkata, kira-kira 60,000 anggota telah digerakkan di enam wilayah keutamaan dengan sokongan helikopter dan pesawat bagi menjalankan operasi pengeboman air serta pengubahsuaian cuaca.
Dalam perkembangan berkaitan, Arrmanatha berkata, Indonesia telah memenuhi kewajipan mengemukakan laporan berkala sejak Ogos menerusi mekanisme Pusat Penyelaras ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACC THPC).
Menurutnya, Indonesia turut berkongsi data berkaitan situasi kebakaran, langkah mitigasi dan perkembangan semasa dengan Sekretariat ASEAN yang bertindak sebagai pusat penyelaras sementara.
Laporan terkini menunjukkan perkembangan positif, termasuk penurunan jumlah titik panas.
Sementara itu, Ketua BNPB yang baharu dilantik, Leftenan Jeneral Kristomei Sianturi berkata, beliau akan meneliti aset sedia ada di peringkat kerajaan daerah dan pusat sebelum menentukan bantuan yang boleh dipercepat bagi memperkukuh operasi memadam kebakaran.
“Saya akan terlebih dahulu meneliti aset yang tersedia, apa yang sudah boleh kita lakukan di peringkat kerajaan daerah dan pusat serta bantuan dari luar negara yang boleh kita percepat bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas upacara mengangkat sumpah di Istana Negara pada Khamis, menurut siaran langsung Sekretariat Presiden.
Kristomei menggantikan Leftenan Jeneral Suharyanto sebagai Ketua BNPB.
Beliau menegaskan, usaha menangani kebakaran memerlukan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat, pentadbiran daerah dan kerajaan pusat, dan tidak boleh bergantung kepada BNPB semata-mata.

