KOTA KINABALU: Seramai 169 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam kira-kira 25 operasi penguatkuasaan di tujuh daerah di negeri ini dalam tempoh lima hari.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi yang dijalankan dari 13 hingga 17 Oktober itu melibatkan pemeriksaan terhadap 530 individu.
Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Kudat, Tenom dan Keningau.
Beliau berkata, warga Filipina mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu seramai 131 orang, diikuti 36 warga Indonesia dan dua warga Pakistan.
“Daripada jumlah warga Filipina yang ditahan, 53 adalah lelaki dewasa, 39 perempuan dewasa, 19 kanak-kanak lelaki dan 20 kanak-kanak perempuan.
“Bagi warga Indonesia, tangkapan membabitkan 14 lelaki dewasa, 15 perempuan dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan, manakala dua warga Pakistan yang ditahan adalah lelaki dewasa,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sitti Saleha berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan secara berterusan di lokasi strategik seluruh Sabah bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen, selain membanteras kehadiran PTI.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan PTI boleh menyalurkannya menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) melalui https://eapp.imi.gov.my.

