Kontena jatuh hempap kereta, dua beranak maut
16:10 Oct 19, 2026  |  By SabahKini2
Kontena jatuh hempap kereta, dua beranak maut

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata siasatan turut menjurus kepada kemungkinan kontena berkenaan diletakkan di kawasan itu secara sengaja atau disebabkan faktor lain.

KOTA KINABALU: Polis sedang menyiasat punca sebuah kontena yang diletakkan di bahu Jalan Sepanggar, berhampiran Pelabuhan Sepanggar, sebelum terjatuh lalu menghempap sebuah kereta sehingga mengorbankan dua beranak, Ahad lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata siasatan turut menjurus kepada kemungkinan kontena berkenaan diletakkan di kawasan itu secara sengaja atau disebabkan faktor lain.

Beliau berkata, polis sedang mendapatkan keterangan saksi bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, selain meneliti aspek keselamatan pengguna jalan raya di kawasan terbabit.

“Walaupun kontena diletakkan di tepi jalan, saiz dan ketinggiannya boleh mengganggu pandangan pengguna jalan raya serta menimbulkan risiko keselamatan.

“Selain itu, proses mengalihkan kontena menggunakan jentera berat juga berpotensi menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sukan PDRM Kontinjen Sabah di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, pihaknya turut merancang mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan, termasuk pengurusan pelabuhan, bagi mencari penyelesaian terhadap masalah lambakan kontena di tepi jalan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terpelihara, sekali gus mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan pemandu lori treler berusia 49 tahun direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang Ahad lalu, seorang wanita berusia 53 tahun dan anak perempuannya berusia 24 tahun maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap kontena berhampiran Pelabuhan Sepanggar.

Siasatan awal mendapati lori treler terbabit berhenti di lorong kiri jalan untuk mengangkat kontena dari bahu jalan ke atas treler sebelum muatan itu hilang keseimbangan lalu terjatuh menghempap kereta mangsa yang sedang melalui kawasan berkenaan.

Kedua-dua mangsa tersepit di dalam kenderaan yang remuk sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba kira-kira jam 9.55 malam, selepas operasi menyelamat mengambil masa lebih tiga jam.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan sebelum mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.

Comment