Pembangkang tidak perlu pertikai geran komunal - Musa
18:04 Apr 27, 2018  |  By SabahKini2
Pembangkang tidak perlu pertikai geran komunal - Musa

Menerusi geran komunal, tanah yang diberikan kepada penduduk kampung akan diwarisi generasi ke generasi kerana ianya tidak boleh dijual.

KINABATANGAN: Pemberian tanah kira-kira 200,000 ekar kepada penduduk negeri ini menerusi Geran Komunal merupakan pendekatan terbaik diambil kerajaan Sabah bagi memastikan penduduk memiliki tanah sendiri.

Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata pemberian tanah kepada penduduk negeri ini menerusi geran komunal tidak harus dipertikaikan parti pembangkang.

Katanya, parti pembangkang tidak faham pelaksanaan geran komunal yang sebenarnya pendekatan berkesan untuk memastikan penduduk negeri ini memiliki tanah.

Menurutnya, menerusi geran komunal, tanah diberikan kepada penduduk kampung akan diwarisi generasi ke generasi kerana tidak boleh dijual

“Saya sedar pemimpin parti pembangkang mempertikai pemberian geran komunal khas untuk rakyat memiliki tanah.

“Mereka (parti pembangkang) tidak faham dan fikir ia dilaksanakan untuk main-main sahaja,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Bina Negara (RBN) di Kampung Suan Lamba dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Felcra Berhad Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) Jazuli W Sunarto.

Pembinaan 120 buah RBN menerusi usahasama Felcra Berhad dengan LKTNS yang akan dimulakan tahun ini.

Rumah tersebut dibina dengan kos RM120,000 dan dijual dengan harga RM75,000.

Musa berkata pelaksanaan geran komunal itu merupakan pendekatan terbaik dan mendapat pujian pihak luar atas keberkesanan memastikan penduduk negeri ini khususnya yang tiada tanah dapat memiliki tanah di kawasan mereka.

Beliau berkata pemberian tanah itu kepada penduduk negeri ini turut melibatkan tanah kawasan Hutan Simpan.

“Ini cara kita sentiasa cari kaedah terbaik untuk membantu rakyat. Kerajaan negeri dan persekutuan diterajui Barisan Nasional ada pemimpin prihatin dan bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya Musa.


 
 
 
 

 

Comment