Kinetic Next 2026 ketengahkan inovasi tempatan Sabah
16:10 Oct 23, 2026  |  By SabahKini2
Kinetic Next 2026 ketengahkan inovasi tempatan Sabah

Perkara itu ditekankan menerusi Simposium Perubatan Sukan Kinetic Next 2026 yang berlangsung di sini baru-baru ini, dengan memberi tumpuan kepada perkongsian kepakaran profesional serta penerokaan pendekatan baharu.

KOTA KINABALU: Kepakaran tempatan, perkongsian ilmu dan kerjasama rentas sektor perlu terus diperkukuh bagi menghasilkan penyelesaian inovatif yang memenuhi keperluan masyarakat, khususnya dalam bidang sukan dan penjagaan kesihatan.

Perkara itu ditekankan menerusi Simposium Perubatan Sukan Kinetic Next 2026 yang berlangsung di sini baru-baru ini, dengan memberi tumpuan kepada perkongsian kepakaran profesional serta penerokaan pendekatan baharu dalam pembangunan sukan dan kesihatan.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata inovasi tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut pembangunan teknologi dan produk komersial, sebaliknya turut merangkumi pengetahuan profesional, amalan terbaik serta kerjasama yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap I kementerian itu, Doria Tai Yun Tyng, yang mewakilinya pada simposium berkenaan.

“Fokus terhadap perubatan sukan menunjukkan bagaimana inovasi melangkaui teknologi dan produk komersial.

“Ini juga merangkumi pengetahuan profesional, amalan yang lebih baik serta pendekatan kolaboratif yang berpotensi membawa manfaat bermakna kepada masyarakat,” katanya.

Simposium itu dianjurkan menerusi kerjasama Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI), Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC), Persatuan Inovasi Kota Kinabalu Sabah (PIKKSA), Unit Perubatan Sukan Hospital Queen Elizabeth dan Kinabalu Association of Sports Medicine (KIASM).

Program itu menghimpunkan golongan profesional, penyelidik, pengamal kesihatan serta komuniti sukan bagi berkongsi ilmu dan meneroka pendekatan dalam rehabilitasi sukan, pencegahan kecederaan serta peningkatan prestasi atlet.

Selain perubatan sukan, potensi inovasi tempatan Sabah turut ditampilkan menerusi pembangunan sukan baharu dan penggunaan kecerdasan buatan dalam bidang penjagaan kesihatan.

Antaranya ialah PaduBall, sukan berasaskan raket yang dibangunkan inovator tempatan, AG Ahmad Mohd Yunus, di bawah Universiti Malaysia Sabah (UMS).

PaduBall menawarkan konsep permainan dinamik sebagai alternatif kepada peminat sukan raket yang ingin meneroka pengalaman permainan berbeza.

Sementara itu, Sistem Penyelidikan dan Amaran Autisme Kecerdasan Buatan (ARAWS) yang dibangunkan Mohd Sukri Umar, Mathiew Sungkit, Jamlee Yanggitom dan Hasfaizah Zaini di bawah PIKKSA, menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong pemantauan keselamatan serta analisis tingkah laku individu autisme.

Kedua-dua inovasi itu mencerminkan usaha memanfaatkan kepakaran anak negeri untuk meneroka penyelesaian dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan sukan dan sokongan kepada komuniti autisme.

KPSTI dan SCENIC terus menggalakkan kerjasama antara inovator tempatan, institusi serta organisasi profesional bagi memperkukuh ekosistem inovasi negeri.

Pendekatan itu diharap dapat membantu menterjemahkan idea dan kepakaran tempatan kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada masyarakat Sabah.

Comment