Ghapur optimis BN Menang di Kalabakan
19:04 Apr 27, 2018  |  By SabahKini2
Ghapur optimis BN Menang di Kalabakan

Saya tidak mahu mengecilkan pembangkang tetapi rakyat faham, tahu bahawa BN ini sudah bertapak lama dan saya percaya rakyat akan terus memilih BN kerana rekodnya

AWAU, 27 April- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kalabakan paling lama, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh optimis dapat mengekalkan rekod tanpa kalah BN di Kalabakan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Enggan bercakap besar, Abdul Ghapur berkata rakyat akan memilih calon yang dikenali serta parti yang memiliki rekod baik dalam membantu masyarakat di kawasan itu.

"Saya tidak mahu mengecilkan pembangkang tetapi rakyat faham, tahu bahawa BN ini sudah bertapak lama dan saya percaya rakyat akan terus memilih BN kerana rekodnya," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini, hari ini.

Dalam pilihan raya umum 2004 dan 2008, Abdul Ghapur memenangi kerusi Parlimen Kalabakan tanpa bertanding.

Di bawah Parlimen Kalabakan terdapat tiga DUN iaitu Merotai, Sebatik dan Tanjung Batu.



Dalam pada itu, calon BN di DUN Sebatik, Datuk Muis Picho berkata pengundi di Sebatik akan memilih parti yang terbukti memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat.

"Di bawah BN pelbagai projek dibangunkan termasuk projek jalan raya bernilai RM3.5 juta sedang dilaksanakan dan satu lagi projek naik taraf masjid di kawasan Wallace Bay ketika ini," katanya turut yakin dapat mengekalkan kerusi Sebatik yang disandang pada PRU13.

Sementara itu bagi calon  DUN Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat yang juga penyandang kerusi berkenaan pada PRU13, PRU kali ini adalah mencabar namun rakyat boleh menilai prestasi kerja calon dan parti sepanjang tempoh lima tahun lepas.



"Sepanjang lima tahun ini, banyak kemudahan disediakan BN untuk rakyat termasuk membuka Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di Kalabakan, Merotai termasuk Tanjung Batu dan terkini  satu lagi PI1M akan dibuka di Felda Umas, tapak bangunan telah dikenal pasti," katanya.

Comment