Lelaki 54 tahun maut motosikal bertembung kereta di Papar
15:11 Nov 02, 2026  |  By SabahKini2
Lelaki 54 tahun maut motosikal bertembung kereta di Papar

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai memasuki laluan kereta berkenaan sebelum berlaku perlanggaran.

PAPAR: Seorang lelaki berusia 54 tahun maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 30, Lebuh Raya Pan Borneo, laluan Papar-Beaufort, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun bersama seorang penumpang sedang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Beaufort.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai memasuki laluan kereta berkenaan sebelum berlaku perlanggaran.

“Akibat kejadian itu, mangsa terjatuh di atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Heryan berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, untuk proses bedah siasat.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum memasuki atau melintasi laluan kenderaan lain.

Beliau turut menasihatkan penunggang motosikal dan pemandu supaya sentiasa peka terhadap keadaan trafik, mengekalkan jarak keselamatan serta mengelakkan tindakan yang boleh mengundang risiko kemalangan.

Comment