LAHAD DATU: Cubaan menyeludup keluar 1,750 liter petrol bernilai kira-kira RM18,000 ke negara jiran gagal apabila dua bot pam tanpa nombor pendaftaran ditemukan ditinggalkan berhampiran Kampung Sinakut Tengah, di sini, awal pagi semalam.
Kedua-dua bot itu dipercayai ditinggalkan sekumpulan individu yang bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.
Pengarah Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata bot berkenaan dikesan pada jam 6 pagi dan 6.20 pagi menerusi pelaksanaan Op Sejahtera serta Op Tiris 4.0.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot pertama berwarna biru membawa 38 gelen petrol, manakala bot kedua berwarna hijau membawa 32 gelen bahan api itu.
“Setiap gelen mempunyai kapasiti 25 liter, menjadikan keseluruhan rampasan sebanyak 70 gelen atau 1,750 liter petrol dengan nilai dianggarkan RM18,000.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan empat unit enjin pam bot yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dzulfikhar berkata, kedua-dua bot bersama muatan petrol dan peralatan terbabit dibawa ke Pangkalan Maritim Felda Sahabat sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki terbabit dalam cubaan menyeludup petrol ke negara jiran.
Katanya, Maritim Malaysia akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan pemantauan bagi membanteras kegiatan penyeludupan di perairan negara.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu menerusi WhatsApp di talian 016-930 5727 atau talian kecemasan MERS 999.

