JIM Sabah serbu banglo mewah, 14 warga asing ditahan
15:11 Nov 05, 2026  |  By SabahKini2
JIM Sabah serbu banglo mewah, 14 warga asing ditahan

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi hasil risikan selama seminggu itu membabitkan seramai 49 pegawai penguat kuasa.

KOTA KINABALU: Sebuah banglo mewah tiga tingkat di kawasan elit bandar raya ini disyaki dijadikan pusat operasi penipuan dalam talian sebelum diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, malam Rabu.

Serbuan menerusi Ops Serkap kira-kira jam 11 malam itu membawa kepada penahanan 14 lelaki warga asing berusia antara 26 hingga 44 tahun.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi hasil risikan selama seminggu itu membabitkan seramai 49 pegawai penguat kuasa.

Menurutnya, pemeriksaan di premis berkenaan turut menemukan 75 telefon bimbit dan 14 komputer riba yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan penipuan dalam talian.

"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu berkenaan dipercayai memasuki negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial, namun 13 daripada mereka didapati tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

"Seorang lagi disyaki berada di negara ini tanpa pas atau permit yang sah.

"Siasatan terhadap 13 lelaki terbabit dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala seorang lagi mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut menemukan wang tunai berjumlah RM3,742 dan mata wang asing sebanyak 560 yuan.

Katanya, pihak imigresen turut merampas 13 kerusi, enam meja serta satu set peralatan dan kelengkapan internet yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.

"Semua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, Sitti Saleha menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan warga asing yang menyalahgunakan kemudahan imigresen, termasuk melanggar syarat pas atau berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Menurutnya, kegiatan penipuan dalam talian yang disyaki membabitkan warga asing turut diberi perhatian kerana berpotensi mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

JIM Sabah akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan dan pemantauan bagi membanteras penyalahgunaan kemudahan imigresen serta kegiatan warga asing yang melanggar undang-undang negara.

Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak imigresen sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing.

Comment