MET Malaysia keluar amaran hujan berterusan di 3 negeri
18:11 Nov 06, 2026  |  By SabahKini2
MET Malaysia keluar amaran hujan berterusan di 3 negeri

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata analisis model ramalan cuaca menunjukkan fenomena itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan terbabit.

KUALA LUMPUR: Luruan monsun dijangka memasuki rantau negara antara 9 hingga 11 November ini, dengan beberapa kawasan di Pantai Timur Semenanjung dan timur Sabah berisiko mengalami hujan berterusan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata analisis model ramalan cuaca menunjukkan fenomena itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan terbabit.

Beliau berkata Amaran Hujan Berterusan (Waspada) dikeluarkan bagi beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu bermula 8 hingga 11 November.

Di Kelantan, kawasan terlibat ialah Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu, Machang, Bachok dan Pasir Puteh.

Di Terengganu pula, amaran berkenaan meliputi Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu.

Sementara itu, amaran sama turut dikeluarkan bagi beberapa kawasan di Sabah dari 9 hingga 11 November, membabitkan Paitan, Telupid, Labuk dan Sugut, Sandakan serta Kinabatangan.

Mohd Hisham menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman web rasmi MET Malaysia, aplikasi myCuaca dan saluran media sosial rasmi jabatan itu.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan menerusi talian hotline MET Malaysia di 1-300-22-1638.

Comment