KOTA KINABALU: Sabah berhasrat memperkukuh kerjasama dengan India dalam sektor pelancongan dan kebudayaan bagi meningkatkan potensi pasaran pelancongan negara itu, khususnya menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, India merupakan antara pasaran penting yang mempunyai potensi besar untuk diterokai, terutama dalam usaha meningkatkan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa ke negeri ini.
Menurutnya, kerjasama itu boleh diperkasakan menerusi promosi pelancongan, pertukaran budaya serta pelaksanaan pelbagai inisiatif yang mampu mengeratkan hubungan rakyat kedua-dua negara.
“India ialah pasaran pelancongan penting yang mempunyai potensi besar untuk Sabah.
“Kita melihat peluang luas untuk memperkukuh hubungan, meningkatkan ketibaan pelawat serta memperkenalkan tarikan alam semula jadi, warisan budaya dan pengalaman pelancongan unik Sabah kepada lebih ramai pelancong India,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bagi meraikan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Somnath Ghosh dan isteri, Dr Anindita Ghosh, di sini.
Majlis itu diadakan sempena lawatan rasmi Somnath ke Sabah dari 4 hingga 7 November ini.
Jafry berkata, kunjungan berkenaan membuka peluang bermakna untuk memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang pelancongan, pertukaran budaya dan hubungan antara rakyat.
Katanya, Sabah komited memperluas jaringan kerjasama pelancongan antarabangsa sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Sabah 2027.
Beliau berkata, sektor pelancongan bukan sahaja berperanan menarik kedatangan pelawat, malah menjadi platform untuk membina persahabatan, meningkatkan persefahaman budaya serta membuka peluang ekonomi yang memberi manfaat kepada komuniti tempatan.
Dalam pada itu, Jafry menyifatkan Sabah mempunyai kelebihan tersendiri sebagai destinasi pilihan pelancong India, antaranya tarikan alam semula jadi bertaraf dunia, biodiversiti, pelancongan pengembaraan, warisan budaya dan layanan mesra.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Somnath serta Suruhanjaya Tinggi India atas komitmen berterusan dalam mempererat hubungan antara India dan Malaysia.
“Aspirasi kita adalah untuk membawa Sabah lebih dekat dengan dunia, selain mengalu-alukan lebih ramai pelawat antarabangsa untuk menikmati pengalaman di negeri ini,” katanya.

