KOTA KINABALU: Lebih 22,000 peserta mendapat manfaat daripada 1,066 program pembangunan industri kraf yang dilaksanakan Pusat Kraftangan Sabah (PKS) sejak 2011 hingga tahun ini, membabitkan peruntukan keseluruhan RM47.2 juta.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pembangunan industri kraf bukan sahaja bertujuan memelihara warisan budaya negeri, malah membuka peluang ekonomi kepada masyarakat.
Katanya, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan tahun ini bagi melaksanakan 29 program yang menyasarkan 200 peserta.
“Angka ini menunjukkan bahawa pembangunan industri kraf bukan sekadar memelihara khazanah, tetapi turut membuka ruang ekonomi kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Majlis Apresiasi dan Penutupan Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah Sesi 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Ucapan beliau disampaikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata warisan budaya seperti tenunan, batik, anyaman buluh dan rotan serta seni manik perlu terus dipelihara dan dikembangkan mengikut perkembangan semasa.
Menurutnya, pembangunan modal insan juga perlu mengambil kira perubahan teknologi dan keperluan industri bagi memastikan anak Sabah memiliki kemahiran untuk mendapatkan pekerjaan serta menjana pendapatan.
“Anak-anak Sabah perlu diberikan ilmu serta kemahiran untuk menyesuaikan diri, berinovasi dan mengambil peluang.
“Pendidikan, latihan, bimbingan, keusahawanan dan akses kepada pasaran perlu saling melengkapi supaya kemahiran yang dipelajari dapat diterjemahkan kepada produk, perniagaan, pendapatan dan pembangunan ekonomi masyarakat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata hasil kreativiti anak Sabah turut mendapat pengiktirafan apabila batik dan cetakan digital PKS diberi peluang menyertai peragaan fesyen KPDN Presents: Fashion Forward Batik Malaysia sempena Kuala Lumpur Fashion Week 2026.
Usaha memperkukuh industri kraf turut melibatkan memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Sabah menerusi PKS dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).
Selain itu, beberapa kerjasama turut dijalin melalui penyerahan surat hasrat (LOI) kepada Yayasan Sabah oleh Politeknik Kota Kinabalu, All-Party Parliamentary Group Malaysia on Sustainable Development Goals (APPGM-SDG) dan Sugee Group Sdn Bhd.
Hajiji berkata penglibatan institusi pendidikan seperti Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) dalam PKAN turut memperluas peluang pembangunan kemahiran dalam bidang teknologi, keusahawanan dan kebolehpasaran pekerjaan.
Katanya, KTYS melaksanakan 93 program dengan peruntukan RM15.01 juta bagi tempoh 2016 hingga 2026, membabitkan 1,936 peserta.
Antara program berkenaan ialah Gerak Cemerlang SPM (GeCerSPM) yang memberi tumpuan kepada peningkatan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Matematik dan Sains.
Program membabitkan tiga sekolah dengan kuota 200 pelajar itu berjaya meningkatkan kadar kelulusan daripada 35% kepada 98% bagi SPM 2025.
Susulan kejayaan itu, penyertaan program berkenaan diperluas kepada 300 pelajar daripada enam sekolah tahun ini.
Sementara itu, Program Gerak Ekonomi Makanan Inovasi Laut (GEMILAU) membantu golongan rentan meningkatkan pendapatan melalui latihan pemprosesan makanan berasaskan hasil laut.
Daripada 89 peserta program itu, seramai 43 berjaya meningkatkan pendapatan.
Bagi UCSF pula, sebanyak 11 program dilaksanakan menerusi inisiatif Eksplorasi dan Pemerkasaan Teknologi, Kesenian dan Keusahawanan (ExPERTISE) di bawah PKAN Sabah 2026, dengan peruntukan RM750,000 yang membabitkan 314 peserta.
Hajiji berkata antara inisiatif berkenaan ialah Sijil Pembantu Perawatan Pesakit (PCA) dengan kerjasama Kolej Universiti Institut Jantung Negara (IJNUC).
Menerusi program itu, 13 pelajar berpeluang menjalani latihan kerja selama tiga bulan di Institut Jantung Negara (IJN) dan klinik swasta di Sabah.
UCSF turut melaksanakan sembilan program menerusi inisiatif BRIDGE yang memberi tumpuan kepada bidang seni dan kraf, pelancongan dan hospitaliti, kecerdasan buatan (AI), sains dan teknologi serta pertanian.
Program jangkauan itu membabitkan 292 peserta dari Sipitang, Semporna, Pulau Banggi, Keningau, Ranau, Kota Belud, Kota Marudu dan Kota Kinabatangan.
Secara keseluruhan, UCSF melaksanakan 85 program dengan peruntukan RM11.7 juta yang memberi manfaat kepada 1,842 peserta bagi tempoh 2015 hingga 2025.
Hajiji memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memperkukuh usaha pembangunan berteraskan rakyat bagi memastikan lebih banyak peluang pendidikan, latihan kemahiran dan ekonomi dapat dinikmati masyarakat Sabah.

