KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menggesa semua pihak supaya mempergiat usaha penerokaan, penyelidikan dan penerbitan buku dalam pelbagai genre bagi memperkukuh industri perbukuan serta menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, penerbitan buku berkaitan bahasa, sastera, budaya, kesenian, adat resam dan khazanah alam perlu diberi perhatian bagi memastikan kekayaan ilmu, sejarah serta warisan negeri itu terus didokumentasikan untuk generasi akan datang.
Menurutnya, industri perbukuan bukan sekadar bertujuan memenuhi rak perpustakaan, kedai buku atau platform digital, sebaliknya perlu menjadi pemangkin kepada pembudayaan ilmu dalam masyarakat.
“Sokongan semua pihak penting bagi memperkasa industri perbukuan tempatan supaya penerbitan buku bukan sekadar memenuhi rak perpustakaan, kedai buku atau platform digital, sebaliknya menjadi pemangkin pembudayaan ilmu dalam masyarakat.
“Industri perbukuan juga haruslah dilihat sebagai pemangkin budaya membaca dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan sempena Majlis Pelancaran Buku Baharu Penulis Sabah Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2025/2026 dan Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah 2024/2025 di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah, di sini pada Rabu.
Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih.
Hajiji turut menyeru golongan akademik, penyelidik, pensyarah dan profesional di Sabah supaya lebih aktif menghasilkan karya berkualiti yang mampu menjadi rujukan di peringkat antarabangsa.
Katanya, penghasilan karya bermutu tinggi bukan sahaja merakam pemikiran dan khazanah ilmu tempatan, malah menyumbang kepada pembentukan legasi pemikiran Sabah yang progresif.
Beliau berkata, usaha menghasilkan lebih banyak karya berkualiti itu juga selari dengan hasrat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk mengangkat bandar raya berkenaan sebagai Kota Sastera atau City of Literature.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, cabaran geografi Sabah memerlukan komitmen dan kerjasama strategik lebih erat antara agensi Persekutuan dan negeri, termasuk DBP Cawangan Sabah, Perpustakaan Negeri Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, institusi pengajian tinggi serta sektor swasta.
Menurutnya, kerjasama berkenaan penting bagi memastikan masyarakat, khususnya kanak-kanak di kawasan pedalaman dan pulau termasuk Semporna, tidak tercicir daripada menikmati akses kepada bahan bacaan berkualiti.
“Peluasan perkhidmatan perpustakaan bergerak dan pengukuhan capaian digital antara langkah yang perlu diberikan perhatian bagi merapatkan jurang literasi masyarakat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri komited memperkasa bahasa kebangsaan dan persuratan tempatan menerusi penggunaan teknologi pendigitalan serta kecerdasan buatan (AI).
Katanya, industri perbukuan di Sabah perlu berkembang melangkaui penerbitan fizikal dengan memanfaatkan platform digital bagi memperluas capaian kepada pembaca.
Kerajaan negeri juga akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan DBP serta agensi berkaitan bagi memperluas geran, ruang dan peluang penyelidikan kepada penulis tempatan.
Hajiji berkata, usaha memperkasa industri perbukuan itu turut selaras dengan agenda Pemerkasaan Modal Insan Berteraskan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menekankan pembangunan modal insan berilmu, beridentiti dan mempunyai jati diri kukuh.
Menurutnya, kepelbagaian etnik, budaya, sejarah serta khazanah alam Sabah merupakan sumber penting yang perlu diterokai dan didokumentasikan bagi memastikan warisan serta keunikan negeri itu terus terpelihara.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penerima Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah serta penulis tempatan yang karya mereka dilancarkan pada majlis berkenaan.
Katanya, penulis memainkan peranan penting sebagai ejen pembudayaan ilmu dan pemangkin kepada perkembangan industri perbukuan negara.

