Sabah rombak sistem kehakiman adat menerusi enakmen baharu
18:11 Nov 11, 2026  |  By SabahKini2
Sabah rombak sistem kehakiman adat menerusi enakmen baharu

Katanya, enakmen baharu itu memperkenalkan struktur kehakiman lebih tersusun dan profesional, termasuk penubuhan Mahkamah Daerah Anak Negeri, Mahkamah Tinggi Anak Negeri dan Mahkamah Rayuan Anak Negeri.

TUARAN: Sistem kehakiman adat masyarakat anak negeri Sabah bakal melalui penstrukturan semula menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Anak Negeri 2026 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Julai lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kelulusan itu menamatkan penantian panjang kerajaan negeri untuk memperkukuh institusi Mahkamah Anak Negeri (MAN) supaya terus relevan dan mempunyai kewibawaan dalam sistem perundangan.

Katanya, enakmen baharu itu memperkenalkan struktur kehakiman lebih tersusun dan profesional, termasuk penubuhan Mahkamah Daerah Anak Negeri, Mahkamah Tinggi Anak Negeri dan Mahkamah Rayuan Anak Negeri.

Ia turut membabitkan pewujudan jawatan Ketua Hakim, Hakim Besar Mahkamah Anak Negeri, Peguam Mahkamah Anak Negeri serta Pendaftar.

Menurutnya, pelantikan hakim selepas ini akan dibuat berdasarkan merit bagi memastikan integriti institusi kehakiman berkenaan terus terpelihara.

“Pembaharuan itu turut memperjelas pemisahan fungsi pentadbiran dan adat daripada fungsi penghakiman, namun peranan tradisi pegawai adat seperti Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri tetap dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran dan Tapak Letak Kenderaan Baharu Pekan Tuaran, hari ini.

Hajiji berkata kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan bagi menaik taraf kemudahan fizikal MAN, termasuk Kompleks Kehakiman Anak Negeri Sabah serta pembinaan mahkamah baharu di beberapa daerah.

“Pemerkasaan ini bukan sekadar menaikkan imej institusi adat, malah memastikan Undang-Undang Adat Anak Negeri mendapat kedudukan lebih dihormati dalam sistem perundangan negara,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan pembangunan Tuaran, Hajiji berkata projek pemuliharaan Sungai Tuaran dan pembinaan tapak letak kenderaan baharu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan kemudahan infrastruktur serta menjaga kelestarian alam sekitar.

Katanya, Sungai Tuaran mempunyai nilai penting kepada masyarakat setempat kerana bukan sahaja menjadi khazanah alam, malah berkait rapat dengan kehidupan dan sejarah penduduk daerah itu.

Beliau berkata cabaran perubahan iklim dan hakisan tebing memerlukan usaha berterusan bagi memastikan sungai berkenaan kekal bersih dan bebas pencemaran.

Menurutnya, reka bentuk jambatan dalam projek itu diinspirasikan daripada bubu ikan tradisional yang sinonim dengan kehidupan masyarakat tempatan.

“Jambatan Tamu Tuaran bukan sahaja menjadi mercu tanda baharu, malah menghubungkan komuniti di seberang sungai dengan kawasan Tamu Tuaran, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk khususnya pejalan kaki,” katanya.

Mengenai tapak letak kenderaan baharu, beliau berkata kemudahan itu disediakan bagi mengurangkan kesesakan susulan pertambahan kenderaan di pekan berkenaan, terutama pada hari tamu dan hujung minggu.

Hajiji turut menggesa setiap daerah di Sabah memperkenalkan produk dan pengalaman pelancongan beridentiti tersendiri sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Sabah 2027.

Katanya, Tuaran mempunyai pelbagai tarikan termasuk pantai, pusat rekreasi serta khazanah budaya dan alam sekitar yang berpotensi dikembangkan untuk menarik lebih ramai pelancong.

Comment