TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata beliau memperuntukkan RM500,000 setahun bagi melaksanakan pelbagai program untuk golongan wanita di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman.
Beliau berkata peruntukan itu antaranya digunakan untuk program bantuan peralatan dapur kepada suri rumah, selain pelbagai inisiatif bagi menyantuni golongan wanita di kawasan berkenaan.
Katanya, peruntukan tahunan sebanyak RM500,000 turut disediakan masing-masing untuk program membabitkan golongan pemuda dan beliawanis di Sulaman.
"Setiap tahun saya memberi peruntukan kepada wanita di kawasan saya, Sulaman sebanyak RM500,000 termasuklah untuk program bantuan peralatan dapur. Begitu juga kepada pemuda dan beliawanis kita di Sulaman, saya beri masing-masing RM500,000 setahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Dapur kepada Suri Rumah bagi kawasan DUN Sulaman di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah, Kampung Lok Batik, hari ini.
Seramai 1,000 suri rumah menerima bantuan peralatan dapur pada majlis itu.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata beliau tidak pernah melupakan sumbangan wanita, terutama sokongan mereka yang menjadi antara faktor beliau terus dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu selama sembilan penggal sejak 1990.
" Mereka merupakan separuh daripada pengundi kita di Sulaman," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan wanita dan keluarga berpendapatan rendah, termasuk menerusi Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR).
Menurutnya, daripada kira-kira 10,000 penerima bantuan SYUKUR di Tuaran, lebih 3,000 daripadanya berasal dari kawasan Sulaman. Bantuan RM300 sebulan yang disalurkan tahun lalu turut memberi manfaat kepada wanita yang memenuhi syarat kelayakan.
Hajiji berkata kesejahteraan rakyat menjadi antara keutamaan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Kerajaan negeri menyalurkan bantuan RM200 sebulan kepada 140,000 individu daripada golongan kurang berkemampuan pada tahun ini.
Katanya, jumlah penerima bantuan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah turut meningkat daripada sekitar 20,000 kepada hampir 70,000 orang setiap bulan dalam tempoh lima tahun.
Dalam pada itu, Hajiji menggesa kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya terus memperkukuh parti itu bagi memastikan gabungan berkenaan kekal menerajui kerajaan negeri.
"Sebagai tunjang kepada kerajaan, GRS mesti kita perkuatkan, dan GRS mesti menerajui kerajaan negeri Sabah ini, bukan saja sekarang tetapi pilihan raya Dewan Undangan Negeri empat tahun akan datang," katanya.

