KUALA LUMPUR — Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan memulakan prosiding siasatan berhubung pengurusan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1 pada Rabu, 25 November, susulan penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026.
Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata jawatankuasa itu akan memanggil saksi utama daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah. Turut akan dipanggil ialah pihak yang terlibat dalam pengurusan dan pelaksanaan projek, termasuk pegawai serta individu yang pernah berkhidmat sejak peringkat perancangan.
Menurut beliau, buat julung kalinya PAC Parlimen menjemput PAC Sabah untuk menyertai prosiding sepanjang siasatan itu.
Mas Ermieyati berkata PAC tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran tatacara kewangan atau unsur salah guna kuasa sekiranya perkara itu dikesan dalam siasatan.
Wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang menganggotai PAC secara ex officio, akan menghadiri setiap prosiding. Sebarang penemuan salah laku akan dirujuk kepada SPRM untuk tindakan lanjut.
Lima Ahli Parlimen Sabah kongsi keadaan di tapak
Sebelum memanggil saksi rasmi, PAC mengadakan sesi perbincangan selama satu setengah jam dengan lima Ahli Parlimen Sabah bagi mendapatkan gambaran keadaan di tapak pembinaan.
Lima wakil rakyat itu dipilih berdasarkan kemajuan kerja fizikal di kawasan masing-masing yang dikenal pasti antara paling kritikal, termasuk melibatkan kerja berstatus sakit atau lewat.
Mereka ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal (Lahad Datu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Seri Madius Tangau (Tuaran), Datuk Siti Aminah Aching (Beaufort) dan Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud).
Mas Ermieyati berkata mereka berkongsi kesulitan harian yang ditanggung penduduk serta risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya akibat kelewatan projek.
Menurutnya, maklumat dari lapangan itu membantu PAC memahami masalah yang dihadapi penduduk dan meneliti puncanya semasa prosiding.
Pan Borneo Sipitang–Beaufort: Chong Babi yang kebal!
Sabahkini2 pada 21 Julai lalu menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kelewatan dua pakej kerja Lebuhraya Pan Borneo Sabah di laluan Sipitang–Beaufort. Portal itu mengaitkan ahli perniagaan Chong Kek Sang, yang disebut dalam laporannya sebagai ‘Chong Babi’, dengan pelaksanaan WP01 dari Sindumin ke Kampung Melalia dan WP02 dari Kampung Melalia ke Beaufort.
ARTIKEL BERKAITAN- SPRM digesa siasat kontraktor 'Chong BABI', dua projek Pan Borneo RM1.35 bilion Sipitang–Beaufort masih gagal disiapkan

Susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026, Sabahkini2 mengulangi gesaan itu pada 7 Oktober. Audit mendapati 13 item perubahan reka bentuk di bawah 10 Arahan Perubahan Kerja (APK), bernilai keseluruhan RM60.87 juta, belum dilaksanakan ketika pemeriksaan susulan pada 8 Mei 2026. Antara masalah yang dikenal pasti ialah pertikaian kadar harga, kelemahan komunikasi antara perunding dengan kontraktor dan kelewatan penyediaan laporan teknikal.
ARTIKEL BERKAITAN- Pan Borneo Sipitang–Beaufort: Tambahan kerja RM60.87 juta belum dilaksana, bukti gesaan siasat ‘Chong Babi’ perlu disegerakan
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Januari, Kementerian Kerja Raya turut menyenaraikan prestasi kontraktor yang kurang memuaskan sebagai satu daripada punca kelewatan kedua-dua pakej, selain cuaca tidak menentu dan kekangan pengambilan tanah. Menjelang prosiding 25 November, persoalannya ialah apakah tindakan KKR dan JKR Sabah selepas kelewatan itu dikenal pasti, dan apakah status semasa kerja perubahan bernilai RM60.87 juta tersebut?

