KUNAK: Seorang lelaki cedera parah di kepala manakala seorang wanita mengalami kecederaan ringan selepas dua kereta bertembung di Simpang Kuburan Lormalong, Jalan Kunak-Lahad Datu, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 6.33 pagi itu, kedua-dua pemandu kenderaan terbabit turut tersepit sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak Mohamad Omarbatha berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum menggerakkan empat anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian.
Beliau berkata pasukan bomba tiba pada 6.43 pagi dan mendapati kedua-dua mangsa masih tersepit di dalam kenderaan masing-masing.
"Pemandu wanita berjaya dikeluarkan pada 7.05 pagi, manakala pemandu lelaki dikeluarkan 10 minit kemudian.
"Wanita itu mengalami kecederaan ringan pada tangan dan kaki, manakala lelaki terbabit cedera parah di bahagian kepala," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad berkata kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dihantar ke hospital oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bomba.
Mangsa wanita dihantar menggunakan ambulans KKM, manakala lelaki berkenaan dibawa menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) bomba.
Beliau berkata operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.20 pagi selepas anggota bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.

