KOTA KINABALU: Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dan pemaju mukim di Sabah perlu lebih proaktif turun padang bagi mendengar masalah rakyat serta menyampaikan dasar dan pencapaian kerajaan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata mereka memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat di peringkat akar umbi.
Katanya, PPM dan pemaju mukim juga bertanggungjawab membawa masalah serta keperluan penduduk kepada wakil rakyat, menteri dan kepimpinan kerajaan untuk tindakan lanjut.
“Apabila turun padang, kita mesti pandai mendengar masalah rakyat dan melaporkannya kepada wakil rakyat, menteri serta Ketua Menteri.
“Peranan pemimpin masyarakat ini amat besar kepada saya dan kerajaan. Kita bukan sahaja perlu amanah dan mempunyai integriti tinggi, tetapi mesti memberikan kerjasama sepenuhnya kepada wakil rakyat yang memberikan kepercayaan kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Apresiasi dan Makan Malam Ketua Menteri Sabah bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, di sini, malam tadi.
Hajiji turut mengingatkan mereka supaya memastikan setiap permohonan dan keutamaan pembangunan di kawasan masing-masing dikemukakan melalui saluran yang betul.
Katanya, beliau mendapati terdapat permohonan dikemukakan kontraktor, sedangkan perkara itu sepatutnya disalurkan oleh PPM, pegawai daerah dan wakil rakyat.
Beliau turut meminta PPM mempergiat penerangan mengenai pencapaian kerajaan negeri sepanjang lima tahun lalu serta perancangan pembangunan bagi tempoh lima tahun akan datang menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Menurutnya, kerajaan negeri membelanjakan lebih RM1.2 bilion bagi membantu anak Sabah dalam bidang pendidikan sepanjang lima tahun lalu.
Daripada jumlah itu, lebih RM600 juta disalurkan untuk biasiswa dan pinjaman pendidikan yang memberi manfaat kepada lebih 16,000 pelajar.
Kerajaan negeri turut menyediakan bantuan RM200 kepada setiap pelajar Tingkatan Lima sebelum menduduki peperiksaan, membabitkan kira-kira 35,000 hingga 40,000 pelajar setahun.
Selain itu, bantuan RM300 diberikan kepada pelajar Sabah di institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam negeri untuk pulang menyambut Kaamatan, Hari Raya dan Krismas.
Pelajar yang menuntut di Semenanjung pula menerima subsidi tiket penerbangan RM600 setahun, katanya.
Dalam aspek kebajikan, Hajiji berkata kira-kira 140,000 penerima layak mendapat bantuan RM200 sebulan menerusi inisiatif Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR).
Lebih 11,000 rumah juga dibina menerusi program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Mengenai bekalan air, beliau berkata kerajaan negeri membelanjakan lebih RM1 bilion bagi projek pembinaan loji rawatan air sepanjang lima tahun lalu. Projek loji rawatan air di Tawau kini mencapai kemajuan fizikal antara 50% hingga 60% menerusi pinjaman mudah hampir RM400 juta.
Sementara itu, loji rawatan air Kogopon di Papar bernilai RM385 juta dijangka siap dalam tempoh satu hingga dua bulan. Kerajaan negeri turut memperoleh pinjaman mudah RM300 juta bagi meningkatkan kapasiti loji rawatan air di seluruh Sabah, dengan beberapa projek sudah siap dan selebihnya dijangka diselesaikan tahun depan.
Bagaimanapun, Sabah masih berdepan kadar air tidak berhasil (NRW) sekitar 60% akibat kecurian air dan kebocoran paip.
Sehubungan itu, RM100 juta diperuntukkan bagi menggantikan paip lama dan rosak di beberapa daerah termasuk Kota Kinabalu, Ranau, Kudat dan Pulau Banggi.
Bagi penyelesaian jangka panjang, Hajiji berkata projek Empangan Ulu Padas yang dilaksanakan menerusi kerjasama Sabah Energy Corporation dan Gamuda dijangka menyediakan bekalan elektrik serta sumber air untuk tempoh 50 hingga 60 tahun akan datang. Projek itu dijangka siap pada 2030 atau 2031.
Beliau turut meminta PPM membantu menjelaskan isu pembangunan jalan raya dan kemudahan awam berdasarkan fakta, khususnya berkaitan perbezaan bidang tanggungjawab kerajaan negeri dan Persekutuan.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan rakyat mendapat maklumat tepat mengenai usaha pembangunan kerajaan, termasuk mereka yang tidak mengikuti perkembangan di media sosial.

