KOTA KINABALU: Kemajuan teknologi dalam bidang seni dan industri kreatif tidak seharusnya mengorbankan nilai kemanusiaan, keaslian karya serta identiti budaya, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata perkembangan kecerdasan buatan (AI), media digital, teknologi audiovisual dan platform komunikasi baharu membuka peluang lebih luas kepada penggiat seni, namun perlu dimanfaatkan secara seimbang.
Katanya, teknologi sepatutnya menjadi medium untuk memperluas penyampaian karya tanpa menghilangkan nilai dan kekuatan seni dalam menyentuh pemikiran serta perasaan manusia.
“Kita memerlukan generasi pengkarya yang bukan sahaja mahir menggunakan teknologi, tetapi turut mempunyai asas ilmu, daya pemikiran kritis, kreativiti dan kesedaran terhadap tanggungjawab sosial serta budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena perasmian Persidangan Antarabangsa Seni dan Teknologi Kreatif (PASTIK 2026) di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini.
Teks ucapan itu dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Isnin Aliasnih.
Hajiji berkata kepelbagaian etnik, bahasa, adat resam dan tradisi Sabah merupakan identiti serta kekuatan negeri yang perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Sehubungan itu, katanya, usaha mendokumentasikan, mengkaji dan memperkenalkan khazanah seni budaya Sabah ke peringkat antarabangsa perlu dipergiat menerusi pendidikan, penyelidikan dan inovasi.
Beliau berkata institusi pengajian tinggi seperti UMS mempunyai peranan penting dalam memperkasa budaya tempatan, selain menjadi pusat penyelidikan seni dan perkembangan pemikiran kreatif.
Menurutnya, industri kreatif juga berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi baharu, justeru kerajaan negeri komited membangunkan modal insan yang celik teknologi serta mempunyai kreativiti dan inovasi tinggi menerusi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Hajiji berharap PASTIK 2026 dapat menjadi platform perkongsian penyelidikan, perbincangan idea baharu dan penerokaan peluang kerjasama bagi memajukan industri seni dan kreatif, khususnya di Sabah.
Beliau turut menyambut baik pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Universitas Sebelas Maret dan UMS yang membuka peluang kerjasama dalam penyelidikan, pertukaran kepakaran, pembangunan program akademik serta penghasilan karya kreatif.
Katanya, kerjasama itu perlu menghasilkan program dan tindakan yang memberi manfaat nyata kepada kedua-dua institusi serta masyarakat, bukan sekadar pemeteraian dokumen.
Dalam pada itu, beliau mahu lebih banyak ruang dan peluang diberikan kepada golongan muda untuk menceburi bidang seni dan teknologi kreatif sebagai pencipta, pengkarya, penyelidik serta usahawan.
Katanya, bakat golongan muda perlu diperkukuh melalui pendidikan, latihan dan pendedahan industri, selain diberi peluang menghasilkan karya berkualiti tanpa melupakan akar budaya sendiri.
Hajiji berharap institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti seni terus berganding bahu membangunkan ekosistem industri kreatif yang dinamik, mampan dan berdaya saing.
Usaha itu penting bagi memperkukuh potensi Sabah sebagai antara pusat perkembangan seni, budaya dan kreativiti di rantau ini.

