Datuk Osman Jamal Calon Tepat Pilihan BN Di Balung
00:04 Apr 29, 2018  |  By SabahKini2
Datuk Osman Jamal Calon Tepat Pilihan BN Di Balung

Jentera BN Tawau Bersatu

Pengalaman mengetuai pentadbiran awam Sabah adalah aset yang tidak ternilai yang dimiliki oleh Datuk Osman Jamal. Sepanjang tempoh lebih 37 tahun berkhidmat, Datuk Osman Jamal telah bekerjasama dengan berbagai agensi

Mungkin nama Datuk Osman Jamal bukanlah ‘nama besar’ dalam UMNO Sabah. Namun, dalam perkhidmatan awam, personaliti yang berusia 61 tahun ini adalah satu ‘nama besar’. Apa tidaknya, beliau telah diberi kepercayaan memimpin dua organisasi yang berperanan aktif dalam pembangunan negeri Sabah iaitu Jabatan Ukur dan Tanah dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri Sabah. Peranan dalam dua organisasi inilah yang melonjakkan nama beliau sebagai antara ‘watak utama’ dalam pasukan pentadbiran Tan Sri Musa Aman yang menggerakkan pembangunan dan kemajuan negeri Sabah.



Datuk Osman Jamal adalah orang yang bertanggung jawab memodenkan hal ehwal urus tadbir tanah di Sabah. Sumbangan besarnya sepanjang 15 tahun mengetuai Jabatan Tanah dan Ukur telah melonjakkan nama beliau sehingga ada yang menggelarkannya ‘arkitek pemodenan urus tanah Sabah’. Dengan memperkenalkan sistem urus tadbir tanah yang cekap, sistematik dan result oriented, Datuk Osman Jamal telah mengemudi jabatan berkenaan menjadi antara jabatan kerajaan yang paling efisyen dan mencapai indeks prestasi KPI yang tinggi.

Peranan yang dimainkan oleh Datuk Osman Jamal sebagai Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Sabah (UPEN) pula tidak kurang hebatnya. Sebagai agensi kerajaan Persekutuan, beliau diberikan tanggung jawab untuk menyusun dasar dan merangka strategi pembangunan sosio-ekonomi negeri agar terus berkembang pesat seiring dengan dasar-dasar negara.

Beliau kini bertungkus lumus merangka strategi melaksanakan program dan projek kerajaan yang berimpak tinggi menerusi Pelan Tindakan Strategik Jangka Panjang Sabah (Sabah.LEAP) 2016-2035. Selain itu beliau juga menyelia perlaksanaan Visi TN50 yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia, menyelia pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Sabah dan Sarawak yang dijangka siap pada tahun 2021 dan pembinaan Pelabuhan Kontena Sepanggar untuk menjadikan Malaysia sebagai hub ekonomi Asean menerusi kerjasama BIMP-EAGA yang turut melibatkan Brunei, Indonesia dan Filipina.



Pengalaman mengetuai pentadbiran awam Sabah adalah aset yang tidak ternilai yang dimiliki oleh Datuk Osman Jamal. Sepanjang tempoh lebih 37 tahun berkhidmat, Datuk Osman Jamal telah bekerjasama dengan berbagai agensi bagi melaksanakan dasar-dasar pembangunan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Beliau juga terlibat secara langsung dalam menyusun strategi pembangunan ekonomi dan sosial di negeri Sabah. Kerjaya beliau memberikan beliau peluang menyelami dan melihat sendiri rintihan dan permasalahan sebenar yang dialami rakyat negeri Sabah dari peringkat akar umbi.

Dari situ timbul kesedaran bahawa masalah-masalah rakyat hanya boleh diselesaikan oleh sebuah organisasi kukuh yang bukan sahaja memiliki jentera pentadbiran yang besar dan efektif malah mampu memperkenalkan dasar-dasar yang membela rakyat terbanyak. Beliau sedar hanya kerajaan Barisan Nasional yang memiliki keupayaan tersebut. Bermula dari saat itu, Datuk Osman Jamal mula bergiat cergas dalam dunia politik. Beliau secara rasminya menjadi ahli UMNO pada tahun 1998 menerusi Cawangan Kampung Bombalai di Parlimen Kalabakan.

Disebabkan faktor inilah juga, Datuk Osman Jamal terjun ke dunia politik. Dengan berbekalkan pengalaman dan hubungan eratnya dalam agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan, beliau memilih UMNO sebagai wadah perjuangannya untuk berkhidmat kepada rakyat.

Datuk Osman Jamal seorang insan yang mudah didekati dan sentiasa ada sekiranya diperlukan. Beliau akan sedaya upaya untuk meluangkan masa mendekati masyarakat walaupun sibuk dengan urusan hariannya. Mungkin karektor yang ada dalam diri beliau inilah yang membuatkan masyarakat di sekeliling sangat senang dengan beliau. Di mana sahaja beliau pergi, masyarakat akan menyambutnya dengan mesra. Disebabkan itu juga, masyarakat Bugis Sabah telah memilih beliau untuk memimpin mereka. Beliau dipilih sebagai Presiden Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS) pada tahun 2011.

Menerusi peranannya dalam PKBS, Datuk Osman Jamal sangat aktif dan lantang dalam memastikan pembangunan dan kebajikan komuniti Bugis di negeri Sabah sentiasa terpelihara. Beliau juga tidak akan berkompromi dengan pihak-pihak yang memperlekeh maruah orang-orang Bugis. Beliau dengan beraninya telah mengetuai komuniti Bugis Sabah menuntut agar Tun Mahathir memohon maaf secara terbuka kerana menghina masyarakat Bugis dengan gelaran ‘lanun’. Bagi beliau, gelaran negarawan bukannya ‘lesen’ untuk sewenang-wenangnya menghina mana-mana suku kaum bangsa. Untuk itu, Tun Mahathir harus memohon maaf.

Datuk Osman Jamal melalui PKBS turut bekerjasama erat dengan institusi pengajian tinggi khususnya Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam menerbitkan buku ilmiah berkaitan Bugis di Sabah. Hasil kerjasama itu, dua buah buku telah diterbitkan yang berjudul Sejarah dan Budaya Bugis di Tawau, Sabah dan Prosiding Bugis Sabah 2007, Memperkasa Citra dan Jati diri. Selain fokus kepada penerbitan, PKBS dan UMS juga telah bekerjasama dalam menganjurkan persidangan, seminar dan bengkel untuk membentang dan membincangkan perkembangan komuniti Bugis khususnya di negeri Sabah. Beliau juga menggerakkan cawangan PKBS seluruh negeri untuk terus bergiat aktif dalam pembangunan masyarakat dengan menganjurkan berbagai program kebajikan, ekonomi dan pendidikan.

Datuk Osman Jamal juga memainkan peranan yang besar dalam perkembangan syiar Islam di negeri Sabah menerusi penglibatan beliau sebagai Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA). Beliau mahu melihat syiar islam terus ditingkatkan agar sentiasa seiring dengan kepesatan pembangunan. Bagi merealisasikan impiannya itu, beliau telah menubuhkan Rumah Anak Yatim Yayasan Jama’eah (RAYYAJ) di kampung kelahirannya di Bombalai, Tawau pada tahun 2012. Seterusnya dua tahun selepas itu, beliau membina Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah‐Rumah Anak Yatim Yayasan Jama’eah (MTS‐RAYYAJ) di lokasi yang sama untuk melahirkan generasi PROTAZ (Professional Tahfiz) yang bukan sahaja mampu menghafaz 30 juzuk al‐quran, malah berupaya menjadi tenaga mahir dalam pelbagai bidang profesional.

Selain memberi sumbangan kepada pembangunan ekonomi dan komuniti, Datuk Osman Jamal juga aktif dalam pembangunan sukan dan belia di negeri Sabah. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengurus Pasukan Bola Sepak Sabah (SAFA) untuk musim 2000‐2001. Pencapaian terbaik beliau semasa menerajui SAFA ialah membawa pasukan bola sepak Sabah menduduki tempat kedua dalam Liga Perdana Malaysia dalam musim tersebut. Kini walaupun tidak lagi menyandang jawatan sebagai Pengurus, beliau terus menyumbangkan tenaga dengan kapasiti sebagai Naib Presiden SAFA.

Anak jati Tawau ini dilahirkan pada 7 Mac 1957 di Kg. Air Tawar, Bombalai. Beliau dibesarkan dalam keluarga sederhana. Ayah beliau, Haji Jamal Brahim hanya bekerja sebagai buruh di ladang kelapa sawit manakala ibunya, Hajah Hatiah Pamutta adalah suri rumah sepenuh masa.

Beliau memulakan alam persekolah di SK Bombalai pada tahun 1964 sebelum meneruskan persekolahan di SK Ladang Mostyn, Kunak pada tahun 1965 susulan penghijrahan keluarganya ke ladang berkenaan. Berkat kecemerlangan akademik beliau telah dipilih untuk melanjutkan pengajian menengah di Sekolah Tinggi Muar, Johor pada tahun 1970 atas tajaan Yayasan Sabah. Beliau seterusnya melanjutkan pengajian di Penang Free School pada tahun 1973 setelah beberapa bulan bersekolah di Maktab Tentera Di Raja, Kuala Lumpur. Selepas tamat pengajian menengah, beliau melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang juru ukur tanah. Beliau menamatkan pengajian pada tahun 1980 dengan Ijazah Sarjana Muda Ukur Tanah.

Perjalanan karier Datuk Osman Jamal dari awal sehinggalah pada jawatan yang beliau pegang ketika ini sebenarnya bermula dari bawah. Sebagai graduan di bawah tajaan Yayasan Sabah, Datuk Osman Jamal diwajibkan untuk berkhidmat untuk kerajaan negeri khususnya di bawah Yayasan Sabah. Namun begitu, beliau sanggup menolak tawaran tersebut walaupun dengan gaji yang lumayan demi untuk mengejar impiannya menjadi juru ukur bertauliah di Jabatan Tanah dan Ukur Sabah Daerah Keningau pada tahun 1980. Berkat pengalaman dan prestasi cemerlang semasa berkhidmat, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah pada tahun 1995 sebelum diberikan kepercayaan penuh menerajui jabatan tersebut setelah beliau dilantik sebagai Pengarah pada tahun 1997.

Seterusnya pada tahun 2001, beliau meninggalkan seketika Jabatan Tanah dan Ukur Sabah bagi memenuhi permintaan kerajaan negeri Sabah untuk menerajui Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) sebagai Pengurus Besar. Setelah berkhidmat selama tujuh tahun, Datuk Osman Jamal akhirnya kembali menerajui Jabatan Tanah dan Ukur Sabah pada tahun 2006. Beliau meneruskan perkhidmatan cemerlangnya selama sepuluh tahun lagi sebelum akhirnya menerima tawaran kerajaan negeri untuk mengetuai Unit Perancangan Ekonomi Negeri Sabah (UPEN) pada tahun 2015.

Bagi mengiktiraf sumbangan dan jasa bakti beliau dalam perkhidmatan awam negeri Sabah, Datuk Osman Jamal telah dikurniakan anugerah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2007 oleh TYT Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Ahmadshah Abdullah. Selain itu, beliau juga dikurniakan Pingat Jasa Negara (PJN) oleh DYMM Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah pada tahun 2013.

Datuk Osman Jamal telah mendirikan rumahtangga bersama dengan Datin Hajjah Yohani Tan Sri Datuk Jasni yang berketurunan Kadazan pada 1981. Hasil perkongsian hidupnya selama 37 tahun, beliau dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Farhana, Siti Nur Faisha dan Mohammad Farhanuddin.

Sesungguhnya masyarakat di DUN Balung amat bertuah kerana bakal diwakili calon berwibawa, berjiwa rakyat dan amat peka dengan kehendak penduduk setempat. Berkat pengalaman selama 37 tahun dalam pentadbiran kerajaan, Datuk Osman Jamal jelas telah bersedia untuk menerima mandat rakyat di DUN Balung dengan membawa agenda pembangunan ekonomi dan sosial sesuai dengan iltizam manifesto Barisan Nasional.

Dengan izin Allah dan sokongan padu rakyat, kita akan menyaksikan sejarah baru dicipta. Datuk Osman Jamal mendapat sokongan majoriti untuk membawa suara dan harapan masyarakat DUN Balung di Dewan Undangan Negeri Sabah bagi Penggal ke – 14. In Shaa Allah.




SUMBANGAN DALAM PERKHIDMATAN AWAM

JABATAN TANAH DAN UKUR SABAH (1997 – 2001 & 2006 – 2015)


2006 ​​Menubuhkan Penguatkuasaan Tanah
Hasil kerjasama antara Penguatkuasa Undang‐undang, agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar.

2007 ​​Memperkenalkan Centralized Processing
Memudahcara prosidur kerja pemprosesan permohonan pecah bahagi bangunan berpusat.

2008 ​​Memperkenalkan One Stop System
Sistem perkhidmatan kaunter pusat berkomputer.

2009 ​​Memperkenalkan sistem Fast Track
Pengeluaran geran komunal melalui pemberimilikan terancang.

2009 ​​Memperkenalkan E‐Kadester
Mempercepatkan pengukuran hakmilik tanah permohonan tanah anak negeri melalui sistem pengukuran berkomputer.

2009 ​​Memperkenalkan Permohonan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) berpusat
Memudahcara pemprosesan kelulusan permohonan Lesen Pendudukan Sementara (TOL)

2010 ​Memendekkan proses kelulusan permohonan tanah anak negeri syarat Native Titles (N.T.)

2010 ​​Memperkenalkan LaDess
Pendaftaran urusniaga tanah berkomputer (Land Dealing Electronic Submission System ‐ LaDess)

2010 ​Memudahcara pembayaran pampasan tanah sehingga 90% dari 75% sebelum hasil pengukuran pengambilan tanah diluluskan.

2011 ​​Menubuhkan PANTAS
Unit bergerak Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) bertujuan memberi kesedaran dan khidmat nasihat yang tepat mengenai isu tanah di negeri Sabah.

2011 ​​Memperkenalkan perkhidmatan secara online
Kemudahan perkhidmatan pelanggan secara dalam talian bagi memudahkan urusan kerja dan pentadbiran jabatan.

PENGARAH UNIT PERANCANGAN EKONOMI SABAH (2015 – SEKARANG)

2016​​Visi Pembangunan Jangka Panjang Sabah (Sabah.LEAP) 2016-2035
Meliputi tempoh empat empat Rancangan 5 Tahun yang bertujuan untuk menyediakan halatuju dan visi rancangan pembangunan jangka panjang negeri Sabah. Visi Sabah.LEAP pada tahun 2035, adalah bagi memastikan semua rakyat Sabah akan menjalani kehidupan yang produktif dan bermakna dalam keadaan yang harmoni dengan alam semula jadi, memulihara alam semula jadi untuk generasi akan datang dan disokong oleh ekonomi yang cergas dan mampan.

2016​​Menggerakkan strategi Pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke – 11 (RMK-11)
​​Menyusun stragegi perlaksanaan RMK-11 menerusi 6 teras strategic
• Memperkukuhkan Inklusiviti kea rah masyarakat yang saksama
• Meningkatkan kesejahteraan rakyat
• Meningkatkan pembangunan modal insan
• Strategi pertumbuhan hijau bagi meningkatkan kemampanan dan daya tahan
• Memperkukuh infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi
• Merekayasa pertumbuhan ekonomi untuk peningkatan kemakmuran

2018​​Melaksanakan Program dan projek kerajaan yang berimpak tinggi
• Melaksanakan Dasar TN50
• Projek Lebuhraya Pan Borneo
• Pelabuhan Kontena Sepanggar

14 Comments