18 cawangan dan lebih 1000 Ahli Warisan Kimanis masuk BN
16:04 Apr 29, 2018  |  By SabahKini2
18 cawangan dan lebih 1000 Ahli Warisan Kimanis masuk BN

Saya memutuskan keluar daripada Warisan bersama pengikut lain kerana perjuangan parti ini nampaknya lebih bersifat peribadi.

KIMANIS - Lebih 1,000 ahli Parti Warisan Sabah (Warisan) bertindak keluar parti dan menyertai Barisan Nasional (BN) selepas tidak mempercayai hala tuju perjuangan parti pembangkang tempatan itu.

Jumlah tersebut adalah melibatkan 18 cawangan Warisan bagi kawasan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan.

Bekas Exco Wira Warisan, Safari Mohd. Adnan yang mewakili kumpulan itu menyifatkan parti Warisan di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sengaja menggunakan rakyat sebagai platform untuk membalas dendam kepada kerajaan.

"Saya memutuskan keluar daripada Warisan bersama pengikut lain kerana perjuangan parti ini nampaknya lebih bersifat peribadi.

"Lebih menyedihkan apabila sanggup menggunakan rakyat untuk membalas dendam terhadap BN," katanya ketika ditemui di Markas BN Parlimen Kimanis di sini hari ini.

Bekas Ketua Warisan Cawangan Kampung Darat itu juga mendakwa Mohd. Shafie gagal mempertahankan perjuangan asal dan matlamat parti tersebut.

Ini termasuklah, mengenepikan suara masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) dan cenderung melantik kroni sebagai calon 'payung terjun'.

Salah seorang calon yang dimaksudkan ialah Datuk Azis Jamman yang berasal dari daerah Semporna tetapi dipilih untuk merebut kerusi panas, Parlimen Sepanggar.

"Dalam siri jelajah, Shafie Apdal berjanji bahawa Warisan akan bertanding di 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi DUN di negeri ini. Kini yang berlaku sebaliknya, apabila gabungan parti pembangkang di bawah bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad pula diberi ruang bertanding di sini," jelasnya.

Dedah Safari, beliau dan pengikutnya pernah diugut supaya kekal bersama Warisan setelah usaha rundingan menghalang penglibatan mereka menyertai BN gagal.

"Saya pasti selepas ini lebih ramai akan tampil dan keluar parti," katanya.

- K Online

24 Comments