BN perlukan lebih ramai wakil Cina dalam kerajaan - Najib
10:04 Apr 30, 2018  |  By SabahKini2
BN perlukan lebih ramai wakil Cina dalam kerajaan - Najib

Sehubungan itu, katanya beliau berharap rakyat akan memberikan mandat kepada BN dalam PRU14 termasuk memastikan calon-calon Cina daripada BN memenangi semua kerusi yang mereka tandingi.

SANDAKAN: Kerajaan Barisan Nasional (BN), sebaik sahaja dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan memerlukan lebih banyak wakil daripada masyarakat Cina dalam Kabinet, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata ini bagi memastikan Kabinet mempunyai perwakilan yang mantap daripada kalangan pemimpin pelbagai kaum bagi memastikan semua kaum di Malaysia dapat dijaga dengan baik oleh kerajaan BN.



Sehubungan itu, katanya beliau berharap rakyat akan memberikan mandat kepada BN dalam PRU14 termasuk memastikan calon-calon Cina daripada BN memenangi semua kerusi yang mereka tandingi.

"Dalam Kabinet lepas, hanya terdapat tiga wakil (menteri Cina) kerana mereka (calon-calon Cina daripada BN) tidak begitu berjaya dalam pilihan raya lepas.

"Saya berharap saya dapat lakukan lebih banyak lagi (untuk meningkatkan jumlah wakil Cina). Jadi, tolong berikan kami (BN) mandat kukuh," katanya pada program bertemu rakyat bersama masyarakat Tionghoa Sandakan di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan Penasihat LDP Tan Sri Chong Kah Kiat, yang merupakan bekas ketua menteri Sabah.

Najib, yang juga pengerusi BN berkata beliau berharap rakyat khususnya kaum Cina tidak terpedaya dengan pembangkang terutamanya DAP.

Beliau berkata oleh kerana di kebanyakan kawasan Cina mengundi calon DAP pada pilihan raya umum lepas, ini menyebabkan Kabinet tidak mempunyai jumlah wakil masyarakat Cina yang sewajarnya di peringkat kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

"Demokrasi adalah permainan melibatkan nombor; dengan merupakan hanya 23 atau 24 peratus daripada populasi negara ini, masyarakat Cina tidak boleh membentuk sebuah kerajaan.

"Tetapi masyarakat Cina, bersama-sama dengan kaum lain, boleh membentuk kerajaan yang kuat. Saya mahukan jumlah wakil Cina yang mantap dalam BN kerana saya mahu membawa negara ini ke tahap lebih tinggi," katanya.

Najib berkata komuniti Cina yang kebanyakannya adalah usahawan dan pemimpin korporat pasti akan mendapat lebih banyak manfaat dengan menyokong BN.



Beliau berkata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan kekal kukuh selepas merekodkan pertumbuhan memberangsangkan 5.8 peratus pada tahun lepas.

"Kita mampu lakukannya (mencatatkan pertumbuhan ekonomi lebih tinggi tahun ini) kerana pasaran global sedang menunggu mandat kukuh (dalam PRU4) dan apabila BN membentuk kerajaan selepas PRU14, pastinya pasaran di Bursa Malaysia akan menjadi cergas.

"Apabila keyakinan terhadap pasaran meningkat tinggi, siapa yang akan dapat manfaatnya? Kebanyakan daripada anda (komuniti Cina) akan mendapat manfaat kerana kebanyakan daripada anda ialah pemimpin korporat. Anda tahu macam mana untuk jana wang," katanya.

Najib berkata BN telah membuktikan rekodnya dalam memacu ekonomi Malaysia terutamanya selepas beliau menjadi perdana menteri dan berjaya mengemudi negara keluar daripada inflasi ekonomi pada 2008 dan dua tahun lepas pada 2016.

Bagi Sabah, perdana menteri berkata beliau telah membuktikan komitmennya terhadap negeri itu dan akan meneruskan komitmennya itu apabila BN memenangi PRU14.

"Kami (BN) sudah menggariskan perancangan untuk memastikan Sabah lebih maju dari segi pelancongan, pembangunan ekonomi. Tetapi anda (rakyat) perlu berikan kami (BN) keputusan yang betul (mandat).

"Pihak sebelah sana (pembangkang) belum tentu lagi. Jangan perjudikannya. Tenangkan diri dan berfikir secara rasional. Pilihan raya adalah tentang memilih kerajaan yang betul untuk menjadikan kehidupan anda lebih baik," katanya.

Bercakap kepada pemberita pada program itu, Najib turut mengumumkan kawasan Parlimen Batu Sapi akan mendapat sebuah sekolah menengah yang baharu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Sapi 2, untuk mengatasi masalah kesesakan pelajar di satu-satunya sekolah menengah di kawasan itu, SMK Batu Sapi.

"Tapak (bagi sekolah baharu) telah dikenal pasti. Terserah kepada kementerian (Kementerian Pendidikan) untuk merumuskan kos (pembinaannya). Biasanya kira-kira RM30 juta bagi reka bentuk SMK yang standard," katanya.

-Bernama

1 Comment