Kecekapan urus ekonomi negara bolehkan bayaran BR1M dinaikkan - PM Najib
10:04 Apr 30, 2018  |  By SabahKini2
Kecekapan urus ekonomi negara bolehkan bayaran BR1M dinaikkan - PM Najib

Kecekapan urus ekonomi negara bolehkan bayaran BR1M dinaikkan - PM Najib

SANDAKAN: Kecekapan menguruskan ekonomi membolehkan negara mendapat dana lebih dan dipulangkan kepada rakyat dengan menaikkan sekali ganda bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), beliau mengutama dan mendahulukan rakyat.

"Sebelum merangka Manifesto BN, saya bertanya kembali kepada diri mengenai sumpah dan janji saya ketika dilantik sebagai Perdana Menteri iaitu rakyat mesti didahulukan.

"Kita urus ekonomi negara dengan cekap dan membolehkan ada dana lebih sikit. Saya kata ada dana lebh kita pulangkan kepada rakyat melalui BR1M," katanya pada Majlis Perasmian Sekolah Kebangsaan Bahagia di Batu Sapi dekat sini, hari ini.

Pada 7 April lepas, Najib mengumumkan tambahan bayaran kepada semua penerima sedia ada serta mewujudkan satu lagi kategori penerima baharu.

Antaranya bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah, bayaran BRIM pada Jun dan Ogos ini akan ditingkatkan masing-masing kepada RM800 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan RM2,000.

Selain itu, kategori baharu diperkenalkan iaitu isi rumah berpendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan akan menerima bayaran RM700 yang dibayar pada Jun dan Ogos ini.

Najib berkata beliau mengambil keputusan pada sebelah petang hari yang sama sebelum membentang manifesto BN pada 9 malam.

Katanya kerajaan BN memberi dan meningkatkan jumlah bayaran BR1M disebabkan tidak pernah mungkir janji kepada rakyat.

Berbanding parti pembangkang, Perdana Menteri berkata manifesto mereka adalah gagal dan boleh dinilai di negeri Selangor dan Pulau Pinang.

"Di Pulau Pinang, pembangkang kata air tidak naik tetapi mereka sudah menaikkan tarif air sebanyak empat kali dan membuat terowong tetapi tidak nampak cahaya," katanya.

Beliau berkata di Selangor, pembangkang gagal mengurus masalah air dan negeri itu juga mencatatkan kes tertinggi denggi di negara ini.

-Bernama

Comment