Calon Warisan Batu Sapi tak kenang budi- Chong Kah Kiat
11:04 Apr 30, 2018  |  By SabahKini2
Calon Warisan Batu Sapi tak kenang budi- Chong Kah Kiat

"Sekarang, dia kata buang UMNO (di Sabah) ke Semenanjung. Mahukah kita pemimpin yang macam ini?,

SANDAKAN: Calon Warisan bagi Parlimen Batu Sapi, yang dahulunya anggota sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN), seorang yang tidak mengenang budi, kata bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Chong Kah Kiat.

Bercakap pada majlis Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama komuniti Tionghua Sandakan di sini hari ini, Chong berkata calon terbabit tidak menghargai bantuan yang dihulurkan kepadanya oleh Najib dan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

"Sekarang, dia kata buang UMNO (di Sabah) ke Semenanjung. Mahukah kita pemimpin yang macam ini?, katanya.

Chong, yang juga penasihat LDP, merujuk kepada bekas presiden LDP Datuk Liew Vui Keong, yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi kerusi Parlimen Batu Sapi atas tiket Warisan menentang penyandangnya Datuk Linda Tsen Thau Lin.

Liew, yang pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, menjadi anggota Parlimen Sandakan pada PRU12 pada 2008 lalu, tetapi gagal mempertahankan kerusi itu pada PRU13  pada 2013 apabila tewas kepada calon DAP Stephen Wong Tien Fatt.

Wong akan mempertahankan kerusi  Parlimen Sandakan pada 9 Mei ini dalam pertembungan satu lawan satu menentang calon BN Datuk Lim Min Hong.

Chong turut meminta pengundi Cina, khususnya di Sandakan, supaya tidak mengambil ringan PRU14 ini dan mengundi BN bagi memastikan kestabilan, kemajuan dan keharmonian rakyat di negeri ini terus terjamin.

"Kita harus berterima kasih kepada ketua menteri kerana memilih dua calon kerusi Parlimen di kawasan ini, Sandakan dan  Batu Sapi, daripada kaum Cina, dan kita (BN) juga mempertaruhkan tiga calon Cina bagi kerusi DUN.

"Bayangkanlah kekuatan dan sokongan yang kita boleh beri kepada perdana menteri dan ketua menteri. Cubalah bayangkan," katanya.

118 Comments