Pilih calon rapat, berkhidmat kepada rakyat
09:05 May 02, 2018  |  By SabahKini2
Pilih calon rapat, berkhidmat kepada rakyat

Selain faktor parti, kita kena pilih wakil rakyat yang boleh bekerja

PENAMPANG: Pemimpin yang rapat dan sudah berkhidmat kepada rakyat sebelum menjadi wakil rakyat sewajarnya diundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, menjadikan Datuk Francis Goh, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan sebagai contoh kerana beliau sudah lama berkhidmat untuk masyarakat walaupun bukan sebagai wakil rakyat.

"Saya kenal Francis sudah lama dan tahu dia pemimpin yang rapat dengan rakyat, selain kuat bekerja, dia sudah lama bekerja untuk rakyat walaupun sebelum jadi wakil rakyat.

"Selain faktor parti, kita kena pilih wakil rakyat yang boleh bekerja. Penduduk kawasan ini (DUN Kapayan) beruntung kerana Francis sentiasa berkhidmat walaupun bukan wakil rakyat.

"Jadi, kenapa tidak beri peluang kepada dia yang pastinya akan bekerja lebih kuat lebih jika dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan ini," katanya pada Majlis Bersama Rakyat di Lido Square, di sini malam tadi.

Selain Francis, majlis itu turut dihadiri calon BN Parlimen Penampang, Ceasar Mandela Malakun dan calon BN DUN Luyang, Dr Pamela Yong.

Sementara itu, Francis berkata, dia sudah untuk rakyat berbilang kaum sama ada Cina, Kadazandusun Murut (KDM) dan Bumiputera Islam di kawasan itu sejak empat tahun lalu dan menerima sambutan menggalakkan.

"Saya adalah pemimpin yang tidak membezakan kaum dan agama walaupun MCA adalah parti mewakili masyarakat Cina, saya bekerja dengan adil dan saksama, malah semua rakyat dilayan sama rata," katanya.

Beliau juga percaya masyarakat Cina khususnya di DUN Kapayan sudah kembali kepada BN kerana melihat hanya parti itu yang mampu membela rakyat.

"Sebenarnya, saya berasa khuatir juga dengan sambutan masyarakat Cina di sini (DUN Kepayan) jika sama seperti dalam PRU-13, namun saya terkejut apabila ramai yang hadir pada malam ini iaitu lebih 1,500 orang," katanya.- BH

Comment