BN bina 70 rumah transit mangsa kebakaran Kampung Panji, Shafie pula tak kunjung tiba
13:05 May 03, 2018  |  By SabahKini2
BN bina 70 rumah transit mangsa kebakaran Kampung Panji, Shafie pula tak kunjung tiba

Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Ramlee Marahaban, yang juga calon BN di kerusi Parlimen Semporna, berkata pembinaan itu akan dilaksanakan mulai esok dan dijangka siap sebelum Ramadan.

SEMPORNA: Barisan Nasional (BN) akan membina 70 rumah transit untuk mangsadalam insiden  kebakaran yang berlaku di Kampung Panji di sini malam tadi.

Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Ramlee Marahaban, yang juga calon BN di kerusi Parlimen Semporna, berkata  pembinaan itu akan dilaksanakan mulai esok dan dijangka siap sebelum Ramadan.

"Setakat ini saya difahamkan terdapat 51 keluarga terlibat dalam kebakaran di kampung itu, kita simpati dengan musibah yang menimpa mangsa  kebakaran  ini," katanya  ketika  ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi kejadian di sini bersama Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Ramlee berkata pembinaan rumah transit itu akan dibina  di lokasi yang sama.

"Pembinaan rumah ini mungkin melibatkan peruntukan lebih RM500,000," katanya.

Sementara itu, mangsa kebakaran Kalmin Assim,48, berkata ketika kejadian beliau dan keluarganya tidak sempat menyelamatkan barang lain dengan keluar sehelai sepinggang dari rumah untuk menyelamatkan diri.

"Saya sempat bawa dokumen penting sahaja dan barang-barang lain musnah dalam kebakaran itu. Suami  masih di laut (nelayan) dan tidak tahu lagi rumah terbakar," katanya dalam nada sebak tetapi tetap bersyukur tiada yang cedera.

Sukardi  Wakizo, 69, pula berkata beliau menyedari kejadian itu berlaku ketika membuka tingkap dan melihat api marak di hadapan rumahnya.

"Apabila melihat  api marak itu, saya menjerit api dan meminta tolong sebelum menyuruh isteri dan dua anak perempuan keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri," katanya yang tinggal sehelai sepinggang dan hanya sempat menyelamatkan dokumen penting.

Pusat  Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah melaporkan kira-kira 30 rumah musnah dalam kebakaran di perkampungan atas air di Kampung Panji, lewat malam tadi.

Bomba Semporna menerima panggilan kecemasan pada 10.48 malam dan susulan itu dua jentera bersama 12 anggota dikerah ke lokasi kebakaran.

Tiada kemalangan jiwa atau cedera dilaporkan dan operasi tamat pada 2.48 pagi tadi.

Sumber asal: BERNAMA

1 Comment