Geran Komunal ada nama rakyat tidak boleh jual, mengapa nak mansuh- Musa
10:05 May 04, 2018  |  By SabahKini2
Geran Komunal ada nama rakyat tidak boleh jual, mengapa nak mansuh- Musa

Kita (kerajaan negeri) memberikan geran komunal untuk memastikan rakyat terus memiliki tanah sendiri sepanjang hayat dan boleh diturunkan (diwariskan) kepada anak cucu...boleh dibangunkan untuk apa sahaja.

PITAS: Geran komunal yang diberikan oleh kerajaan negeri Sabah kepada rakyat di negeri ini tidak boleh dimansuhkan, kata Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman hari ini.

Jelasnya, geran komunal mempunyai nama rakyat yang menjadi pemilik tanah kerajaan yang telah ditukarkan hak milik kepada rakyat terpilih iaitu ketua isi rumah termiskin.

"Kita (kerajaan negeri) memberikan geran komunal untuk memastikan rakyat terus memiliki tanah sendiri sepanjang hayat dan boleh diturunkan (diwariskan) kepada anak cucu...boleh dibangunkan untuk apa sahaja.

"Jadi, apabila presiden Parti Warisan kata mahu mansuhkan geran komunal, kenapa? Beri kepada orang lain? Geran komunal ada nama rakyat...tidak boleh dijual (tanah yang dimiliki)," katanya pada Majlis Penyerahan Geran Komunal dan Bantuan Subsidi Pantas Warga Emas daerah Pitas di sini.

Musa berkata untuk menukarkan tanah kerajaan kepada tanah rakyat dengan pemberian komunal merupakan langkah yang diilhamkannya bagi memastikan rakyat, khususnya di luar bandar, mempunyai aset yang boleh digunakan untuk membina kediaman sendiri dan kegiatan ekonomi.

"Kita sedar sebagai pemimpin, kita mesti tolong rakyat. Apabila kita ada kuasa, kita gunakannya demi rakyat. Jangan kita salah gunakan," katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Datuk Safar Untong berkata sebanyak 19 geran komunal disampaikan kepada kepada wakil ketua kampung terpilih melibatkan 37 kampung dan akan memanfaatkan seramai 1,136 ketua isi rumah.

Pada majlis itu, Musa turut menyampaikan Bantuan Subsidi Pantas bernilai RM2,000 masing-masing kepada 10 warga emas bagi menampung sebahagian kos juruukur berlesen untuk kerja pengukuran pecah bahagi tanah yang sedia dimiliki warga emas berkenaan untuk diagihkan kepada anggota keluarga masing-masing.

Untuk rekod sejak 2011-2017(tempoh 6 Tahun), kerajaan negeri telah menganugerahkan 89,294.58 ekar iaitu merangkumi 21,408 lot atau geran NT yang melibatkan 21,408 bilangan ketua rumah di 15 daerah seluruh negeri Sabah. Manakala geran komunal pula telah dianugerahkan kepada 10,636 peserta/beneficiaries dengan keluasan 122,048.03 melalui 73 geran di 12 buah daerah di seluruh negeri Sabah.

 

Ini bererti, dalam tempoh 6 tahun kebelakangan ini, program penganugerahan geran jenis NT dan geran komunal telah lama dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Dasar ini telah wujud sejak sebelum kelahiran parti warisan Shafie Apdal lagi. Program pemberian tanah bukan program bermusim ia sudah lama diberi kepada rakyat. Juga adalah tidak bertanggungjawab tanah komunal dimansuh kerana ia mengelak salah guna penjualan tanah kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Geran komunal adalah demi kebaikan anak cucu rakyat Sabah. 

Comment