Kerajaan Sabah terbuka, biar rekod BN berbicara-Musa
05:05 May 05, 2018  |  By SabahKini2
Kerajaan Sabah terbuka, biar rekod BN berbicara-Musa

Ketua menteri menyenaraikan pencapaian dulu dan rancangan masa depan dalam dokumen untuk pengundi menilai pencapaiannya.

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman menggambarkan pentadbirannya terbuka untuk pengundi menilai pencapaiannya semasa melancarkan manifesto Barisan Nasional (BN) Sabah yang dilampirkan dengan senarai panjang pencapaiannya sepanjang 2 dekad lalu.

“Sesungguhnya, apa yang kerajaan telah lakukan selama ini adalah atas kesedaran dan keinsafan bahawa rakyat adalah aset paling besar dan utama untuk dibela dan dimajukan,” kata Musa semasa membentangkan rancangan untuk Sabah dalam dokumen yang memetakan masa depan negeri itu.

Antara pencapaian yang menonjol ialah pertumbuhan kekuatan kewangan negeri, pengurangan kemiskinan dan peningkatan purata bulanan pendapatan isi rumah.

“Lantaran itu, apa juga yang kerajaan laksanakan 5 tahun yang lalu serta tahun-tahun sebelumnya, adalah siri perancangan pembangunan yang telah disusun rapi demi kemudahan dan keselesaan rakyat,” kata Musa.

“Perancangan lebih besar dan pembangunan jauh lebih hebat akan terus dilaksanakan secara holistik demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

“Untuk merealisasikan impian yang murni itu Barisan Nasional memerlukan mandat yang lebih besar agar dapat kita perhebatkan lagi kemajuan dan pembangunan, menjadikan Sabah terus aman dan sentosa, maju dan makmur, demi kesejahteraan hidup kita.”

Pencapaian yang disenaraikan termasuklah:

* Mengurangkan kadar kemiskinan daripada 25% pada 2002 kepada 2.9% pada 2016.

* Rizab kewangan negeri direkodkan pada tahun lalu berjumlah RM3.74 billion yang meningkat daripada RM184 juta pada 2012.

* Bajet lebihan atau “surplus” dalam tempoh 4 tahun berturut bermula 2015-2018.

* Ketibaan pelancong pada 2016 berjumlah seramai 2.74 juta orang.

* Bayaran serendah RM1 di semua hospital kerajaan.

* 3 Pusat Transformasi Bandar (UTC) diwujudkan di Sabah iaitu Kota Kinabalu, Tawau dan Keningau.

* Projek Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR) berupaya menghasilkan 2,100 tan metrik sehari baja urea.

* Kawasan dilindungi meliputi 1.9 juta hektar atau 26% daripada keluasan keseluruhanan negeri.

* Sabah menjadi pengeluar terbesar minyak sawit mentah di Malaysia.

* Jabatan Audit Negara memuji dan memberi penarafan AAA kepada kerajaan Sabah bagi pengurusan kewangan untuk tempoh 7 tahun berturut-turut sehingga 2016.

* RM13 bilion diperuntukan untuk melaksanakan pembinaan 700km jalan di Sabah di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo dari Sindumin ke Tawau.

* RM1 billion diperuntukkan pada Bajet 2018 untuk membaiki dan menaik taraf sekolah daif di Sabah.

* Lebihan atau ‘surplus’ dalam akaun hasil disatukan untuk tempoh 16 tahun berturu-turut bermula 2001.

* Sejumlah RM561 juta disalurkan untuk penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) di Sabah.

* Sebanyak 19,491 unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dibina Jabatan Perumahan Negara dalam tempoh 10 tahun.

* 11,416 peluang pekerjaan dalam sektor perindustrian dicipta antara tahun 2013-2017.

* 2,453 peluang pekerjaan di 2 Kelompok Perindustrian Minyak sawit

* 30% atau 2.2 juta hektar akan diwartakan sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya menjelang 2025.

* 53% atau 3.9 juta kawasan tanah Sabah diubah menjadai hutan simpan, kawasan dilindungi dan kawasan perlindungan hidupan liar

Janji-janji BN Sabah

1) Memelihara hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)
– Memastikan komitmen mengembalikan hak-hak Sabah dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan ditunaikan oleh kerajaan persekutuan
– Menuntut perakuan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal
– Penurunan kuasa dilaksanakan dengan segera

2) Menyuburkan hubungan antara agama dan kaum
– Menubuhkan satu unit khas di Jabatan Ketua Menteri untuk menyelesaikan hal ehwal agama bukan Islam.
– Memperkukuhkan lagi semangat perkongsian kuasa antara parti komponen Barisan Nasional di semua peringkat pentadbiran ke arah mewujudkan masyarakat yang harmoni.

3) Membasmi kemiskinan
– Meneruskan dan memperbanyakkan program pembasmian kemiskinan seperti MESEJ (Mini Estet Sejahtera), Geran Komunal dan program Agropolitan serta aktiviti yang menjana pendapatan.

4) Komitmen berterusan menangani isu pendatang asing tanpa izin
– Mencegah dan mengawal kemasukan pendatang tanpa izin.
– Menyokong usaha berterusan proses penghantaran balik Pendatang Asing Tanpa Izin oleh agensi yang terlibat.

5) Memperkasa ESSCOM
– Melengkapkan ESSCOM dengan kelengkapan ketenteraan yang canggih dan berkesan untuk memastikan kedaulatan negeri dan keselamatan rakyat terus terjamin.

6) Mewujudkan peluang pekerjaan yang saksama
– Membuka penyertaan yang seimbang kepada rakyat di dalam semua sektor.
– Melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing.

7) Pengurusan tanah yang lebih efisien
– Penganugerahan geran komunal yang berterusan agar lebih ramai rakyat Sabah memiliki tanah.
– Proses penyukatan dan pengurusan permohonan tanah yang lebih cepat. Memastikan tanah adat terus dilindungi.

8) Perlindungan alam sekitar ke arah ekonomi hijau
– Pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pengurusan pembuangan sisa industri.
– Melaksanakan lebih banyak aktiviti pemuliharaan hutan.
– Menggalakkan penggunaan teknologi hijau.
– Memulakan perkhidmatan bas elektrik di bandar-bandar utama.

9) Merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar
– Memastikan rakyat terutamanya di pedalaman Sabah menikmati kehidupan yang lebih baik dengan menyediakan kemudahan asas yang lebih baik seperti jalan raya, elektrik dan kemudahan kesihatan yang mencukupi.

10) Pembangunan wanita dan kesaksamaan gender
– Meningkatkan penglibatan wanita di setiap peringkat dalam membuat keputusan dan dasar di semua bidang.

11) Melonjakkan pembangunan belia dan sukan
– Memastikan prasarana sukan dan peralatan yang lebih moden dan mencukupi.
– Memantapkan sistem latihan bagi melahirkan juara.
– Menyusun program pembangunan dan menjaga kebajikan atlet negeri.

12) Mempertingkatkan pembangunan modal insan
– Memberi tumpuan dalam melahirkan modal insan berkemahiran melalui latihan serta usaha menambah baik
sistem pendidikan. Meneruskan pelaksanaan kolej KDM(Knowledge, Design, Mankind).
– Mengiktiraf UEC (Unified Examination Certificate) sebagai kelayakan memohon jawatan kakitangan awam negeri Sabah dengan syarat calon lulus kepujian mata pelajaran BM dan Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
– Kerajaan negeri akan menambah lebih banyak biasiswa untuk rakyat Sabah melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

13) Kerajaan telus dan berintegriti serta sistem penyampaian yang berkesan
– Mengurangkan ketirisan dalam sistem pencapaian awam.
– Memberi ruang yang lebih luas untuk penyertaan rakyat dalam membuat keputusan dan dasar.
– Meningkatkan usaha membanteras rasuah.
– Meningkatkan keberkesanan dan kecekapan kakitangan awam dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

14) Mengukuhkan kedudukan kewangan dan ekonomi negeri
– Memastikan sumber dan sistem pengurusan kewangan negeri yang kukuh,dinamik dan mapan.
– Mewujudkan sistem ekonomi kondusif dengan memastikan pelaburan asing terus meningkat.

15) Memacu sektor pertanian
– Mempromosi teknologi baru dan efisien untuk kemajuan industri makanan, pertanian dan industri asas tani.
– Meningkatkan tahap keselamatan pengeluaran makanan serta pendapatan para petani dan pengeluar.
– Memperkukuhkan pertumbuhan dan daya saing industri pertanian.

16) Membina rumah mampu milik
– Meningkatkan program pembinaan projek rumah mampu milik untuk rakyat.

17) Merancakkan industri pelancongan
– Meneroka lebih banyak potensi produk pelancongan terutamanya di kawasan luar bandar.
– Menggalakkan lebih penyertaan pemain industri dan operator pelancongan dari kalangan rakyat tempatan.
– Memulakan usaha mengenal pasti lokasi baru Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

18) Menggiatkan pertumbuhan industri minyak dan gas
– Menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada ekonomi negeri.
– Merangsang pertumbuhan ekonomi hiliran dan pembangunan setempat.
– Merancakkan pertumbuhan ekonomi dan penglibatan syarikat tempatan.

19) Mengiktiraf industri kreatif sebagai sumber ekonomi baru
– Mewujudkan ekosistem perniagaan dalam industri kreatif kepada pemain industri tempatan
– Mengangkat lebih banyak motif-motif dan budaya tempatan melalui karya seni.
– Memberi penghargaan kepada penggiat dan karya seni tempatan.

20) Memperluaskan capaian jalur lebar
– Memastikan lebih ramai rakyat menyertai komuniti global dan mendapat peluang menyertai bidang keusahawanan, pendidikan dan ilmu yang berasaskan teknologi.
– Meningkatkan kesiapsiagaan ke arah Revolusi Industri 4.0.

21) Hak-hak Sabah and Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 akan direalisasikan secara konsensus

22) Meningkatkan kualiti liputan telekomunikasi di seluruh Sabah and Sarawak dengan peruntukan RM2 billion.

23) Menyediakan peruntukan khas untuk usahawan-usahawan Sabah and Sarawak

24) Memansuhkan label harga barang mengikut kawasan Semenanjung, Sabah dan Sarawak ke arah ‘Satu Negara Satu Harga’.

25) Meningkatkan kemampuan kuasa persenjataan pasukan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

26) Membina Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Tebedu, Sarawak dan Kalabakan, Sabah.

27) Mencerap lebih banyak fakta perspektif sejarah dari Sabah dan Sarawak.

28) Menubuhkan Institut Kajian Peribumi dari Penduduk Asli di Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Malaysia Sabah.

29) Menaiktaraf laluan kereta api Sabah dari Halogilat ke Tenom.

30) Mewujudkan 3 skim pembetungan di Sabah.

31) Menaiktaraf rumah panjang di Sarawak dan rumah air di Sabah.

32) Meneruskan subsidi bekalan air di pedalaman Sabah.

33) Mempertingkatkan kawalan keselamatan sempadan darat di Sabah dan Sarawak iaitu AKSEM dan AKSEMNET.

34) Menaik taraf Lapangan Terbang Sandakan.

35) Memperkukuhkan jaringan pengangkutan di Sabah dan Sarawak dengan manaiktaraf 12500km jalan luar bandar.

36) Membina Saluran Paip Gas Trans Sabah (TSGP) bernilai RM43 bilion

37) Memberikan peruntukan khas untuk Kursi Kadazandusun di University Malaysia Sabah (UMS).

38) Meluaskan liputan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM2.3 bilion.

39) Memberikan peruntukan khusus untuk melatih tenaga pengajar dan keperlian bahan pengajaran Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun, seterusnya disalurkan ke Unit Bahasa Iban di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Unit Bahasa Kadazandusun di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

40) Menambah jumlah pegawai-pegawai yang berkaitan dengan perkhidmatan Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun di Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

sumber: FMT

 
Comment