Matbali tekad bawa perubahan baru buat Lumadan
06:05 May 08, 2018  |  By SabahKini2
Matbali tekad bawa perubahan baru buat Lumadan

Gandingan saya dengan calon BN Parlimen Sipitang (Yamani Hafez Musa) yang juga orang muda, lebih memudahkan suara anak muda didengar di peringkat atasan.

BEAUFORT- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, Matbali Musah bertekad untuk membawa banyak pembaharuan di kawasan itu khususnya pembangunan belia yang bakal menjadi pemimpin pelapis negara.

Matbali, 48, berkata sebagai calon muda beliau akan sentiasa mendengar denyut nadi golongan muda di Lumadan.

"Gandingan saya dengan calon BN Parlimen Sipitang (Yamani Hafez Musa) yang juga orang muda, lebih memudahkan suara anak muda didengar di peringkat atasan.

"Malah pemilihan sebagai calon di kawasan ini diiringi dengan tanggungjawab yang perlu digalas untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya

Oleh itu, berbekalkan dengan pengalaman yang ada, beliau yakin penduduk di Lumadan akan terus memberi kepercayaan kepada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk menerajui kawasan itu.

Katanya, beliau yakin penduduk Lumadan sudah matang untuk memilih dan tidak terpengaruh dengan pelbagai isu remeh ditimbulkan pihak pembangkang.



"Misalnya nama ayah saya turut dijadikan isu apabila huruf 'h' di hujung nama itu sengaja dibuang dan dianggap sebagai anak ketua menteri Sabah," katanya.

Dilahirkan di Kampung Kabajang yang terletak kira-kira 24km dari Pekan Beaufort, beliau merupakan anak tempatan berbangsa bisaya.

Anak bongsu daripada lima adik-beradik itu memiliki Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan dan kini sedang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam dan Kepujian di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sebelum ini, beliau merupakan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Sipitang sejak 2012, Pegawai Perhubungan Parlimen Sipitang (2008) dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sipitang (2004).

3 Comments