'Tsunami Mahathir' menangkan PH akhiri 60 tahun kuasa BN
23:05 May 09, 2018  |  By SabahKini2
'Tsunami Mahathir' menangkan PH akhiri 60 tahun kuasa BN

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia hampir 93 tahun, berjaya dalam apa yang dilihat sebagai tugas mustahil untuk meraih sokongan besar rakyat bagi memecahkan genggaman kuasa BN yang sebelum peristiwa bersejarah hari ini, merupakan p

KUALA LUMPUR, 10 Mei- Pakatan Harapan (PH), gabungan empat parti politik pembangkang yang baru dibentuk, menang besar pada pilihan raya umum Malaysia yang baru berakhir, menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia hampir 93 tahun, berjaya dalam apa yang dilihat sebagai tugas mustahil untuk meraih sokongan besar rakyat bagi memecahkan genggaman kuasa BN yang sebelum peristiwa bersejarah hari ini, merupakan parti politik paling lama memerintah.

Dr Mahahir dijangka mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh hari ini. Dr Mahathir ialah Perdana Menteri kempat dan merupakan orang yang sama mengetuai kejayaan BN dalam pilihan raya umum lima tahun berturut-turut dari 1982 hingga 1999.

Ketika keputusan muktamad diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Hashim Abdullah pada kira-kira pukul 4.45 pagi, PH yang berusaha dalam apa yang dianggap sebagai ibu segala pilihan raya menggunakan simbol mata biru sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR), memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen dengan majoriti mudah.

Ia dijangka mengukuhkan kedudukannya di Parlimen menerusi lapan lagi kerusi yang dimenangi Parti Warisan Sabah yang mengumumkan sebelum ini untuk menyertai PH di peringkat persekutuan.

BN yang diketuai Datuk Seri Najib Razak memenangi 79 kerusi, jauh berbanding 132 yang dikuasainya sebelum ini.

Tanda-tanda tsunami politik atau kuasa rakyat mula muncul pada kira-kira pukul 10 malam apabila BN kehilangan negeri seperti Melaka dan Negeri Sembilan kepada PH, manakala parti Islam PAS mengekalkan Kelantan dengan margin lebih besar dan juga mendapat bonus luar jangkaan dengan memenangi Terengganu.

Parti komponen PH iaitu PKR dan DAP turut mengekalkan negeri perindustrian Malaysia iaitu Selangor dan Pulau Pinang dengan lebih menyakinkan.

Dua lagi negeri - Perak dan Kedah - menyaksikan pertembungan sengit dan masing-masing berakhir dengan kedudukan Dewan Undangan Negeri tergantung, tetapi bagaimanakah percaturan politik di negeri-negeri itu akan diuruskan, akan menjadi lebih jelas dalam beberapa jam akan datang.

Malah Sabah dan Sarawak, yang selama ini dianggap negeri 'deposit tetap' BN kerana sentiasa menyumbangkan kerusi Parlimen untuk membolehkan BN terus menguasai Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, runtuh oleh kuasa sejumlah besar pengundi Generasi Y.

Sabah yang dipimpin Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman selama 15 tahun lepas dan ketika berita ini ditulis masih terikat dengan kebuntuan di peringkat Dewan Undangan Negeri berikutan BN memenangi 29 kerusi, Warisan 21, DAP dan PKR (kedua-duanya dalam PH) masing-masing dengan enam dan dua kerusi manakala dua lagi kerusi dimenangi Parti Solidariti Tanahairku.

-- BERNAMA

3 Comments